Hormati hak setiap parti komponen PN

Hormati hak setiap parti komponen PN

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu tidak melakukan sebarang kesalahan dalam Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mahu hak setiap parti komponen dihormati bagi memastikan gabungan berkenaan terus kukuh.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebarang perbezaan pandangan dalam PN perlu diselesaikan menerusi perbincangan bersama termasuk berhubung cadangan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, semua parti komponen perlu mempunyai persefahaman yang jelas me­ngenai hala tuju PN terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika ada perkara yang tidak dipersetujui, kita boleh duduk berbincang dan mencari jalan penyelesaian. Apa yang penting adalah setiap parti menghormati persetujuan bersama dan memastikan kepentingan gabungan terus terpelihara.

“Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin, memimpin PN, tidak timbul masalah dalaman. Namun apabila Pas memimpin, mereka pergi berbincang dengan UMNO mengenai kerjasama tanpa terlebih dahulu berbincang dengan parti komponen lain.

“Setiap parti perlu menghormati rakan dalam gabungan dan memastikan keputusan penting dibuat secara bersama supaya tidak timbul salah faham,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan Bersatu digesa keluar daripada PN susulan dakwaan tindakannya melemahkan gabungan itu.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Bersatu perlu menjelaskan beberapa tindakan yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan PN, termasuk ketidakhadiran wakil parti itu dalam Mesyuarat Majlis Ter­tinggi PN berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Tuan Ibrahim turut mengaitkan tindakan Bersatu mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dengan pembatalan pendaftaran PN oleh jabatan berkenaan.

Ahmad Faizal berkata, aduan yang dikemukakan Bersatu kepada RoS dibuat berasaskan isu yang dibangkitkan parti itu berhubung haknya sebagai parti komponen PN.

“Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan dalam PN. Aduan yang dibuat kepada RoS adalah berasas kerana hak Bersatu sebagai parti komponen telah diketepikan,” katanya.

Mengulas gesaan supaya Bersatu keluar daripada PN, Ahmad Faizal berpandangan bahawa setiap parti perlu menilai semula komitmen masing-masing terhadap prinsip dan kaedah kerjasama yang dipersetujui dalam gabungan itu.

“Kalau Pas tidak boleh berpegang pada cara yang dipersetujui bersama dalam parti, lebih baik Pas yang meninggalkan PN,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini