MFL, FAM perlu bersih Liga M

MFL, FAM perlu bersih Liga M

FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran mengambil langkah segera bagi membersihkan nama Liga Malaysia (Liga M) agar dihormati di peringkat serantau.

Ketika ini, Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kes sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dalam kalangan negara ASEAN apabila 11 kelab tempatan terpalit dengan keseluruhan 33 kes.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli, melihat perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam rekod FIFA dan ia sepatutnya wajib dipadamkan segera bagi menjaga nama Liga M.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, meskipun ada pasukan yang sudah tidak beraksi dalam saingan Liga M, namun FAM dan MFL perlu bertindak bagi membersihkan rekod buruk itu daripada terus berada dalam senarai badan induk bola sepak dunia itu.

“Ini sebenarnya cerita lama, FIFA tetap meneruskan larangan selagi hutang-hutang ini tidak dibayar. Masalahnya pasukan-pasukan yang terlibat tidak serius untuk selesaikan masalah ini, mereka anggap sudah tidak bertanding kenapa perlu bayar.

“Tetapi, isu sekarang ialah, adakah FAM mahu perkara ini kekal dalam rekod FIFA dan Malaysia terus menjadi antara negara popular di rantau ini yang berdepan sekatan FIFA atau kita sememangnya sudah tidak takut kepada FIFA.

“Kalau lihat daripada 11 pasukan tersenarai hanya ada dua atau tiga pasukan yang masih aktif dalam saingan liga seperti KL City dan Terengganu. Kalau boleh kita tidak mahu lihat liga kita ada rekod buruk dalam FIFA.

“Justeru saya melihat FAM dan MFL perlu mengambil tindakan atau cari jalan memadam rekod itu dalam FIFA. Kalau terus dibiarkan maka liga kita akan kekal dalam senarai tertinggi di ASEAN.

“Isu sekatan FIFA terhadap pasukan Liga M bukan sahaja mencerminkan kelemahan pengurusan kelab, malah menjejaskan imej liga secara keseluruhan. MFL dan FAM perlu mengambil tindakan tegas untuk memastikan liga bersih dan kelab kembali mematuhi peraturan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Berdasarkan semakan dalam laman rasmi FIFA, Kelantan Red Warrior (KRW) FC merekodkan jumlah tertinggi dengan sembilan kes, diikuti Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mencatat enam kes dan Kelantan The Real Warriors (TRW) dengan empat kes.

Selain KRW FC, Kelantan FC dan PDRM FC masing-masing merekodkan tiga kes manakala Perlis FA dan Gombak FC mempunyai dua kes setiap satu.

Sementara Perak FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur (KL) City dan PT Athletic FC pula masing-masing mencatat satu kes, menjadikan keseluruhan 11 kelab Malaysia yang tersenarai dalam sekatan berkenaan.

Merujuk kes di peringkat ASEAN, Indonesia berada di kedudukan kedua dengan 21 kes, diikuti Thailand yang merekodkan sembilan kes, Filipina (enam), Vietnam (dua) dan Myanmar (satu).

Jumlah itu menunjukkan Malaysia mendahului negara serantau dari segi bilangan kes sekatan pendaftaran pemain FIFA berdasarkan semakan berkenaan, sekali gus menjadikan isu tersebut antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh kelab tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini