Jadual padat aniaya pemain - Pan Gon

Jadual padat aniaya pemain – Pan Gon

Pemain Selangor, Eduardo Sosa (dua dari kiri), meraikan jaringan pada aksi timbal balik perlawanan pusingan 16 Piala FA menentang Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon meluahkan kebimbangan terhadap jadual Liga Malaysia (Liga M) yang terlalu padat sehingga disifatkan memberi tekanan tidak wajar kepada pemain, terutama apabila mereka hanya mempunyai tempoh sekitar 48 jam untuk kembali beraksi.

Pan Gon berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan tahap kecergasan pemain, malah boleh mengheret kepada penurunan kualiti permainan dan meningkatkan risiko kecederaan, sekali gus tidak adil jika pemain dipersalahkan apabila gagal mempamerkan prestasi terbaik.

“Ya, bagi saya perlawanan malam ini (kelmarin) sangat sukar. Kami baru sahaja bermain dua hari lepas dan kami kena main tiga perlawanan dalam tempoh seminggu . Siapa yang susun jadual sebegini dan kualiti perlawanan apa yang mereka harapkan?” katanya selepas Selangor mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA, kelmarin.

Gergasi Merah mara selepas menewaskan Sabah FC 4-3 secara agregat, dalam aksi kedua di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin, anak buah Pan Gon menang 2-1 hasil jaringan Eduardo Sosa dan Chrigor Moraes

Dalam aksi pertama di Stadium Likas sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 2-2, sekaligus menyaksikan aksi di stadium MBPJ menjadi penentu dan Gergasi Merah membuktikan mereka lebih layak ke suku akhir.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkata, bola sepak sepatutnya bukan sekadar mengejar keputusan, sebaliknya perlu mengambil kira kebajikan pemain serta memastikan peminat disajikan aksi berkualiti di atas padang.

Katanya, pemain tidak wajar menjadi mangsa kepada jadual padat kerana mereka memerlukan tempoh rehat dan pemulihan yang mencukupi selepas mengharungi perlawanan berintensiti tinggi.

“Kita tidak boleh menyalahkan pemain. Kita perlu melindungi pemain dan pada masa sama melindungi kualiti perlawanan. Semua orang perlu memikirkan perkara ini,” katanya.

Pan Gon turut mempersoalkan keperluan pemain Liga Malaysia beraksi dalam tempoh 48 jam sedangkan jumlah perlawanan yang diharungi tidaklah sebanyak pertandingan di liga utama Eropah – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×