Imigresen bongkar sindiket Hundi guna premis perniagaan, transaksi lebih RM180,000

Imigresen bongkar sindiket Hundi guna premis perniagaan, transaksi lebih RM180,000

Imigresen bongkar sindiket Hundi guna premis perniagaan, transaksi lebih RM180,000 di sekitar Chow Kit, KL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sindiket pemindahan wang secara tidak sah menggunakan sistem ‘Hundi’ dikesan menyamar sebagai premis perniagaan runcit dan borong di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, dengan transaksi melalui akaun e-dompet (eWallet) melebihi RM180,000 bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Kegiatan itu terbongkar menerusi Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi sekitar Chow Kit pada 27 Oktober lalu yang membawa kepada penahanan lapan lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat risikan selama sebulan sebelum pasukan penguat kuasa digerakkan ke premis perniagaan yang disyaki terbabit.

“Semakan awal mendapati dua individu yang ditahan telah tinggal lebih masa, manakala warga asing yang lain menyalahgunakan pas yang dimiliki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sindiket dipercayai menyasarkan warga Bangladesh di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan akaun e-dompet dan akaun bank tempatan yang didaftarkan atas nama ejen warga asing bagi menjalankan transaksi kewangan.

Bagi pelanggan yang tidak mempunyai kemudahan akaun digital, urusan penerimaan dan penghantaran wang dilaksanakan secara tunai.

Siasatan turut mendapati ejen Hundi berkenaan beroperasi mengikut waktu perbankan di Bangladesh, iaitu Ahad hingga Khamis dari pukul 12 tengah hari hingga 8 malam waktu tempatan.

Dalam operasi itu, JIM menyita lima naskhah pasport Bangladesh, lima telefon bimbit, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), salinan lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kod QR, komputer riba, kamera litar tertutup (CCTV), cop kedai, kunci kedai serta wang tunai berjumlah RM24,720 yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

Kesemua lapan lelaki warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut.

Selain itu, dua lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini