PUTRAJAYA: Mampu menjana keuntungan sehingga RM50,000 sebulan, kegiatan menawarkan perkhidmatan kecantikan dan estetik dipercayai dijalankan tujuh warga Indonesia terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kelmarin.
Operasi khas itu menyerbu empat lokasi membabitkan satu di sekitar Jalan Uranus, Shah Alam, Selangor; satu di Pandan Perdana dan dua di Kepong, Kuala Lumpur, sebelum menahan seorang lelaki dan enam perempuan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 44 tahun.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu dengan menawarkan perkhidmatan kecantikan dan estetik kepada pelanggan tempatan serta warga asing, khususnya warga Indonesia di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, perkhidmatan berkenaan dipromosikan menerusi media sosial seperti TikTok dan Instagram, dengan pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan.
“Aktiviti ini juga dijalankan di premis kediaman yang disewa bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Warganegara asing yang ditahan dipercayai telah mempelajari kaedah rawatan estetik di negara asal dan di Malaysia,” katanya.
JIM berkata, berdasarkan jumlah pelanggan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan, kegiatan itu dipercayai mampu menjana keuntungan sehingga RM50,000 sebulan.
Dalam operasi bermula 12.15 tengah hari itu, pasukan penguat kuasa turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan dan kecantikan serta sebuah telefon bimbit.
Turut disita wang tunai RM400 yang dipercayai hasil daripada aktiviti berkenaan.
Operasi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas risikan selama sebulan berdasarkan maklumat awam.
JIM berkata, dua perempuan dan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala tiga perempuan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
Katanya, seorang lagi perempuan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua warga asing berkenaan turut akan disiasat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 berhubung pemilikan keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM.
“Kesemua tujuh warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN











