PETALING JAYA: Pertubuhan ASEAN tidak boleh membiarkan pertikaian maritim khususnya di Laut China Selatan menjejaskan perpaduan dan kestabilan rantau ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara anggota mempunyai kepentingan masing-masing dalam mempertahankan kedaulatan dan hak wilayah namun perbezaan tuntutan tidak seharusnya mengorbankan keamanan yang dibina selama beberapa dekad.
“Beberapa negara anggota mempunyai tuntutan maritim yang bertindih dan setiap negara mempunyai kepentingan yang sah dalam melindungi kedaulatan serta hak wilayah masing-masing.
“Namun, tiada pertikaian, walau sedalam mana sekalipun berakar umbi, seharusnya dibiarkan memecahbelahkan ASEAN atau menjejaskan keamanan yang telah kita bina selama beberapa dekad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 di Cebu, Filipina hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, kekuatan ASEAN bergantung pada kepercayaan antara negara anggota, kesediaan mengurus perbezaan secara konstruktif dan komitmen mempertahankan kepentingan bersama rantau ini.
Katanya, keamanan dan kestabilan ASEAN tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin, sebaliknya perlu dipelihara menerusi dialog berterusan serta kemahuan politik untuk bekerjasama walaupun berdepan perbezaan.
“ASEAN tidak boleh menjamin masa depannya melalui tindakan mana-mana negara anggota secara bersendirian.
“Kekuatan kita terletak pada kepercayaan yang dibina sesama sendiri, kesediaan mengurus perbezaan secara konstruktif dan tekad mempertahankan kepentingan lebih luas rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan ASEAN mengekalkan dialog ketika berdepan perselisihan menjadi antara pencapaian penting organisasi itu menjelang ulang tahun ke-60 penubuhannya tahun depan.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama antara negara anggota perlu terus diperkukuh bagi memastikan ASEAN kekal bersatu dan mampu menentukan hala tuju masa depannya sendiri. – UTUSAN











