Tenaga nuklear jadi salah satu sumber bekalan elektrik dipertimbang

Tenaga nuklear jadi salah satu sumber bekalan elektrik dipertimbang

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber bekalan elektrik bagi menyokong operasi pusat data di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimana pun perkara itu perlu diteliti bagi memastikan penggunaan tenaga berkenaan memenuhi piawaian keselamatan serta keperluan teknologi bersesuaian.

Katanya lagi, sebarang pelaksanaan perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini termasuk aspek kawal selia, keselamatan, kepakaran tenaga kerja dan keupayaan teknologi negara. Kita perlu teliti dahulu dengan pihak antarabangsa (yang mahir) baru kita boleh meletakkan nuklear sebagai salah satu sumber tenaga kita.

“Dengan syarat, kita perlu mematuhi standard ditetapkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa daripada segi peraturan, keselamatan, keupayaan manusia dan teknologi sesuai dengan negara kita,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pelan kontingensi kerajaan untuk memastikan operasi pusat data tidak mengganggu keperluan penggunaan elektrik dan air rakyat ketika kemarau atau gangguan bekalan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan turut menggalakkan kerjasama secara perniagaan dengan perniagaan (B2B) antara pembekal tenaga dan pengendali pusat data untuk meneroka penggunaan tenaga nuklear.

“Sama ada akan kita beralih kepada penggunaan nuklear, itu memang dalam pertimbangan kerajaan. Kita menggalakkan kalau ada pembekal tenaga kepada pusat data yang hendak mempertimbangkan B2B, kerajaan akan membantu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, urusan syarikat perlombongan di Indonesia dengan syarikat tenaga nuklear Russia, Rosatom State Corporation dilaksanakan secara B2B, bukannya menerusi kontrak kerajaan.

“Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya bukan membabitkan kontrak kerajaan tetapi hanya membabitkan operasi perlombongan yang menggunakan tenaga besar.

“Mereka buat kerjasama B2B antara syarikat perlombongan di Indonesia dengan syarikat tenaga nuklear Rusia, Rosatom State Corporation,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini