Pernah tersasar, Izzad bangkit bimbing generasi muda

Pernah tersasar, Izzad bangkit bimbing generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bekas pelajar Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka, Muhammad Izzad Daniel Abdullah, 27, pernah melalui zaman remaja yang dipenuhi kesilapan apabila terjebak dengan penyalahgunaan dadah namun pengalaman itu kini menjadi asas perjuangannya membimbing generasi muda.

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengakui mula terlibat dengan dadah ketika berusia 12 tahun akibat pengaruh rakan sebaya sehingga akhirnya dibuang hampir tujuh buah sekolah.

Menurutnya, kebergantungan terhadap dadah mendorongnya melakukan kegiatan samun dan pecah rumah bagi mendapatkan wang untuk membeli bahan terlarang itu sebelum dia ditempatkan di Sekolah Henry Gurney ketika berusia 17 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak bekerja dan masih bawah umur ketika itu. Apabila tiada duit untuk mendapatkan bekalan dadah, saya terpaksa mencuri, menyamun dan memecah rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peluang kedua di sebalik tembok

Pengalaman menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney menjadi titik penting dalam kehidupannya apabila dia mula menyedari masih mempunyai peluang untuk memperbaiki diri menerusi pendidikan dan bimbingan yang disediakan.

Izzad berkata, pelbagai program pembangunan sahsiah dan pendidikan yang dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia membantunya membina jati diri serta mengalihkan perhatian daripada ketagihan dadah.

Antara peluang yang direbutnya ialah menyambung pelajaran dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga berjaya memperoleh keputusan 5A walaupun ketika itu usianya sudah 17 tahun.

Selain pendidikan, layanan pegawai, guru dan warden yang menganggap penghuni seperti ahli keluarga sendiri turut memberikan dorongan kepadanya untuk berubah, meskipun dia mengakui pernah menjadi mangsa buli selama lebih setahun sepanjang berada di institusi berkenaan.

Pengalaman berkenaan mendorongnya berkongsi kisah kehidupan di institusi itu menerusi media sosial supaya golongan muda berfikir panjang sebelum terjebak dalam kegiatan jenayah yang boleh membawa mereka ke situasi sama.

Bagaimanapun, Izzad menegaskan cabaran paling besar bukan ketika menjalani hukuman, sebaliknya selepas dibebaskan apabila seseorang perlu membuktikan kesungguhan untuk berubah dalam kehidupan sebenar.

“Sekolah Henry Gurney ialah tempat kami belajar untuk berubah, tetapi medan perang sebenar adalah selepas dibebaskan.

“Ketika berada di luar, kita sendiri perlu menentukan hala tuju kehidupan dan membuktikan bahawa kita benar-benar mahu berubah,” katanya.

Nasihat anggota polis jadi pegangan

Izzad berkata, antara individu yang memberikan kesan besar terhadap perubahan dirinya ialah seorang anggota polis yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

Menerusi perbualan santai mereka, Izzad menerima nasihat kesilapan yang dilakukan seseorang bukan penentu pengakhiran kehidupannya, sebaliknya boleh menjadi permulaan untuk membina masa depan lebih baik.

Katanya, nasihat itu mula difahami selepas melalui proses pemulihan apabila dia menyedari bahawa hukuman yang pernah diterima tidak seharusnya menghalangnya daripada memperbaiki diri.

Selepas dibebaskan, dia turut berhadapan dengan persepsi masyarakat yang tidak semuanya bersedia menerima individu dengan sejarah silam sepertinya, namun memilih untuk tidak membiarkan kecaman menentukan hala tuju kehidupannya.

Baginya, seseorang perlu mempunyai matlamat yang jelas kerana terlalu memikirkan pandangan orang lain boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan untuk meneruskan perubahan.

Media sosial jadi medan kesedaran

Keputusan Izzad berkongsi kisah silam secara terbuka bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia melihat semakin ramai anak muda mempamerkan penglibatan dalam penyalahgunaan dadah menerusi media sosial.

Walaupun pada awalnya bimbang pendedahan itu menjejaskan peluang pekerjaan dan memberi kesan kepada keluarganya, dia akhirnya tetap memilih untuk berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran tentang akibat perbuatan tersebut.

Usaha berkenaan kemudian membuka peluang kepadanya menyampaikan ceramah di sekolah-sekolah dan menyertai pelbagai program kesedaran, yang dilakukannya sejak hampir enam tahun lalu.

Menurutnya, dia turut menerima mesej daripada individu yang berterima kasih kerana perkongsian video berkenaan membantu mereka meninggalkan penyalahgunaan dadah dan berusaha mengubah kehidupan.

Selain memberikan ceramah, Izzad berusaha membantu individu yang mahu berubah mendapatkan pekerjaan dengan menghubungkan mereka kepada majikan yang bersedia memberikan peluang.

“Sokongan dan bimbingan ialah dua perkara berbeza. Sokongan bermaksud kita menyuruh mereka berubah, tetapi bimbingan ialah apabila kita menarik tangan mereka dan mengajar bagaimana hendak berubah.

“Kalau mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan kehidupan baharu atau sukar mendapatkan pekerjaan, kita cuba bantu setakat yang mampu,” katanya.
Izzad berharap masyarakat memberikan ruang kepada individu yang pernah tersasar untuk membina kehidupan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini