Tiada rundingan lanjut, Ab. Rauf serah kepada MCA umum pendirian

Tiada rundingan lanjut, Ab. Rauf serah kepada MCA umum pendirian

AHMAD Zahid Hamidi dan Ab. Rauf Yusoh bersama bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyertai UMNO pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah di Villa d'Acqua, Kampung Pulau, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Rundingan dengan MCA berhubung pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan perkembangan positif.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perbincangan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong Isnin lalu berjaya meleraikan kebuntuan yang timbul.

Namun, katanya, keputusan muktamad masih bergantung kepada pendirian kepemimpinan MCA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tahu macam mana dengan perundingan dengan MCA, kita dapat meleraikan kebuntuan yang sebelum ini menimbulkan masalah.

“Kita tunggu MCA sendiri nanti akan umumkan hasil daripada perundingan yang telah saya bincang dengan beliau (Ka Siong). Bagi saya, perbincangan itu adalah positif,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ab. Rauf diminta mengulas kenyataan Ka Siong bahawa masih terlalu awal untuk menganggap pertemuan dengan kepemimpinan BN sebagai positif, selain berharap satu penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari.

Ka Siong mengesahkan pertemuan bersama Ab. Rauf dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 malam, Isnin lalu.

Beliau menegaskan, MCA masih tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi PRN Melaka dan sebarang keputusan mengenai pendirian parti akan ditentukan secara kolektif oleh kepemimpinan tertinggi MCA.

Ab. Rauf berkata, UMNO telah menyelesaikan perbincangan dan menyerahkan kepada MCA untuk memaklumkan keputusan seterusnya.

“Tiada pertemuan lanjut dijadualkan selepas ini,” katanya.

Kemelut berkenaan tercetus ketika pengumuman calon BN pada 24 Oktober lalu, apabila pemimpin MCA bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda tidak puas hati.

Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kedudukan MCA dalam menghadapi PRN Melaka, khususnya selepas beberapa kerusi yang sebelum ini ditandingi mereka diberikan kepada pihak lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini