BEIJING: Bintang bola sepak antarabangsa, Kylian Mbappe tampil memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataannya yang kelihatan merujuk kepada pengasas Komunis China, Mao Zedong sebagai seorang diktator.
Tindakan itu diambil selepas penyerang Real Madrid berkenaan berdepan bantahan keras serta pembatalan kontrak tajaan daripada sekurang-kurangnya tiga syarikat gergasi di China.
“Kenyataan saya itu adalah tidak wajar dan saya kini memahami bahawa ia telah menyinggung perasaan ramai orang di China serta komuniti Cina di seluruh dunia,” kata Mbappe dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.
Beliau turut menegaskan tiada niat untuk mencetuskan sebarang kontroversi, selain menyatakan rasa hormat yang mendalam terhadap rakyat serta sejarah negara Tembok Besar berkenaan.
Insiden ini menambah senarai panjang tindakan Beijing yang menggunakan tekanan ekonomi terhadap individu serta entiti luar negara berhubung isu-isu sensitif berkaitan politik domestik mereka.
Sebelum ini pada tahun 2019, stesen televisyen rasmi China pernah menghentikan siaran perlawanan NBA selepas Pengurus Besar Houston Rockets ketika itu, Daryl Morey memuat naik ciapan menyokong penunjuk perasaan anti-kerajaan di Hong Kong.
Ekoran isu terkini itu, syarikat minuman Dongpeng, gergasi produk tenusu Mengniu serta pengeluar keju Milkground mengumumkan pembatalan perjanjian tajaan bersama Mbappe atas alasan menentang sebarang perbuatan yang mengguris sentimen kebangsaan.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak China (CFA) mengesahkan telah mengemukakan bantahan keras kepada kelab Real Madrid serta mendesak pemenang Piala Dunia itu bersama kelabnya membuat permohonan maaf secara rasmi.
Konglomerat penyiaran China Media Group turut bertindak menggantung siaran perlawanan liga Sepanyol (La Liga) yang melibatkan Mbappe, manakala pihak pengurusan La Liga dengan pantas menegaskan kenyataan pemain itu dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian liga.
Liga berkenaan menyatakan ia akan mewujudkan satu protokol komunikasi untuk para pemain dan kelab-kelabnya sambil bekerjasama dengan pihak berkepentingan di China bagi mengelakkan sebarang insiden pada masa hadapan.
Presiden Liga Sepanyol, Javier Tebas menerusi hantaran di X kemudiannya menyatakan beliau bertemu dengan Duta China ke Sepanyol, Yao Jing bagi menangani kesan susulan daripada kenyataan Mbappe serta mencari jalan penyelesaian.
Tebas menegaskan komitmen La Liga untuk memelihara rakan kerjasamanya dengan China termasuk perjanjian strategik dengan liga China sehingga tahun 2029 dan perjanjian bersama China Media Group. -AGENSI











