ISKANDAR PUTERI: Polis berjaya menahan seramai tiga lelaki yang tular dilihat cuba melarikan diri dengan bertindak meninggalkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang sedang bergerak, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, mereka yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan dan dua warganegara Filipina.
Menurut beliau, sementara itu seorang lagi rakan suspek masih diburu polis.
“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai terlibat dengan jenayah mencuri kabel.
“Ujian urin dibuat mendapati dua suspek positif methamphetamine. Operasi masih dijalankan bagi mengesan suspek yang masih bebas selain turut mengenal pasti pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah lain,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi tiga minit sebuah kereta jenis Perodua Alza dikejar beberapa kenderaan peronda polis sebelum beberapa lelaki dilihat keluar daripada kenderaan itu yang masih bergerak.
Tambah Radin Ramlan, kejadian itu bermula apabila anggota unit kereta peronda (MPV) yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di Jalan Persiaran SILC, Gelang Patah mengesan sebuah Perodua Alza dinaiki empat lelaki dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.30 pagi.
“Apabila diarah untuk berhenti, kenderaan Perodua Alza itu terus memecut sehingga memasuki Lebuhraya Link Kedua secara melawan arus. Pemandu kemudian meninggalkan kenderaan itu di Jalan Suria 2, Masai.
“Operasi dijalankan berjaya menahan tiga suspek, manakala seorang lagi masih diburu. Pemeriksaan terhadap kenderaan menemukan satu alat pemotong kabel, polis turut merampas kenderaan tersebut dan tiga telefon bimbit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN











