JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah yang melanda Toraja Utara, Sulawesi Selatan mengakibatkan ratusan keranda di tapak perkuburan tradisional tebing batu Liang Pongtimban terbakar.
Ketua Badan Menangani Bencana Daerah (BPBD) Toraja Utara, Paulus Batti mengesahkan bahawa api dari kebakaran hutan berkenaan merebak sehingga ke kawasan tapak perkuburan tradisional masyarakat tempatan yang terletak di lereng tebing batu.
“Mungkin ada (keranda) terbakar, tetapi belum ada maklumat pasti yang kami terima secara rasmi,” katanya berhubung anggaran jumlah kerosakan akibat insiden berkenaan.
Insiden berkenaan berlaku di Dusun Salurea Rangri, Kelurahan Baruppu Selatan, Baruppu pada Jumaat lalu, sekali gus memusnahkan puluhan liang batu yang menjadi tempat penyimpanan peti mayat penduduk tempatan.
Liang Pongtimban merupakan tapak perkuburan tradisional unik berbentuk lubang-lubang di tebing batu.
Setiap liang kebiasaannya digunakan untuk menyimpan keranda mayat ahli keluarga daripada satu keturunan yang sama.
Ketua Mukim Baruppu Selatan, Natan Pongtoko memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis rasmi bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut sehingga ke akar umbi.
“Saya sudah ke Polres (Ibu Pejabat Polis Daerah) melaporkan agar Polres Toraja Utara menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian ini,” kata Natan secara berasingan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Toraja Utara, Inspektor Ruxon membenarkan penerimaan laporan berkenaan daripada pihak pentadbiran setempat.
“Ya betul, kami akan segera melengkapkan urusan pentadbirannya,” kata Ruxon mengesahkan tindakan susulan yang sedang diambil oleh pihak polis. – AGENSI











