TEHERAN: Iran tidak akan memberitahu atau mendedahkan terlebih dahulu tindakan ketenteraan yang akan dilakukannya dalam perangnya dengan Amerika Syarikat (AS) yang bermula pada 28 Februari lalu.
Sebaliknya, Iran akan melaksanakan tindakan itu tanpa memberi amaran awal kepada pihak lawan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, negaranya kini berada dalam keadaan perang dan angkatan tentera negara itu tidak mempunyai sedikit pun keraguan untuk mempertahankan negara.
Bercakap pada sidang media mingguan pada Isnin, beliau menegaskan Iran terus memantau perkembangan semasa tanpa mempedulikan kenyataan retorik pegawai Israel dan tidak akan berlengah untuk menggunakan haknya mempertahankan diri.
Merujuk perang pencerobohan oleh AS dan Israel selama 40 hari, beliau berkata, tentera Iran sudah memberikan tindak balas tegas setiap kali negara itu menjadi sasaran tindakan musuh dan akan meneruskan pendekatan sama.
Perang itu bermula selepas kegagalan rundingan nuklear antara Iran dengan AS di Switzerland dalam bulan Februari.
Ketika serangan udara AS-Israel ke atas Teheran dilancarkan pada 28 Februari, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh tetapi Amerika masih belum memenangi perang yang dimulakannya itu.
Ketika ditanya mengenai laporan Iran sudah mengenal pasti lokasi bagi kemungkinan serangan balas terhadap AS, Baqaei berkata, keputusan mengenai bentuk tindak balas Iran terhadap sebarang pencerobohan ketenteraan pada masa depan bukan di bawah bidang kuasanya.
“Bagaimanakah kami akan bertindak sekiranya berlaku sebarang pencerobohan ketenteraan pada masa depan bukan dalam bidang kuasa saya. Kami tidak akan mengumumkan tindakan sebelum melaksanakannya,” katanya.
Beliau menambah, Angkatan Tentera Iran akan menunjukkan bagaimana mereka mampu mengejutkan pihak lawan, sambil menegaskan pengajaran daripada pengalaman terdahulu pastinya akan mempengaruhi strategi pada masa depan.
Baqaei turut menegaskan Iran kekal komited terhadap undang-undang antarabangsa, berbeza dengan tindakan pihak lawannya dan Teheran secara konsisten mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pada masa depan, prinsip panduan kami adalah menggunakan semua keupayaan yang ada untuk mempertahankan negara dan menangkis tindakan bermusuhan pihak musuh,” katanya.











