Kebolehpasaran graduan UMT cecah 99.3 peratus, Fakulti Pengajian Maritim Ungguli AGE’25

Kebolehpasaran graduan UMT cecah 99.3 peratus, Fakulti Pengajian Maritim Ungguli AGE’25

PROFESOR Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam mewakili Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menerima Anugerah Utama Kebolehpasaran Graduan bagi kategori Pencapaian Kebolehpasaran Graduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan apabila
Fakulti Pengajian Maritim (FPM) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi sebanyak 99.3 peratus, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan UMT (Piala Pusingan) menerusi Anugerah Kebolehpasaran Graduan 2025 (AGE’25).

Pencapaian tersebut mencerminkan keupayaan UMT melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, khususnya sektor maritim yang memerlukan tenaga kerja berpengetahuan, berkemahiran dan kompeten dalam mendepani perkembangan ekonomi serta teknologi semasa.

Pengiktirafan tersebut disampaikan dalam majlis penutup Career, Entrepreneurship & Skills Festival 2026 (CESF’26) di Dewan Sultan Mizan, UMT, yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganjuran AGE’25 yang memasuki tahun ketiga merupakan inisiatif Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT bagi mengiktiraf pencapaian fakulti, program pengajian dan penyelaras kebolehpasaran graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan universiti.

Penilaian anugerah berkenaan mengambil kira beberapa indikator utama, termasuk kadar kebolehpasaran graduan, kesepadanan pekerjaan dengan bidang pengajian, keusahawanan dan gaji permulaan.

Pendekatan tersebut mencerminkan komitmen UMT untuk memastikan kejayaan pendidikan tinggi bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah turut merangkumi keupayaan graduan memperoleh pekerjaan dan membina kerjaya yang bersesuaian dengan kompetensi masing-masing.

Kecemerlangan FPM turut terserlah apabila graduannya mendapat perhatian dan permintaan daripada industri maritim, sekali gus memperlihatkan potensi fakulti berkenaan dalam menyediakan bakat yang diperlukan sektor tersebut.

Berbekalkan pengetahuan khusus, kemahiran profesional dan pendedahan kepada bidang maritim, graduan FPM mempunyai asas yang relevan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri berkaitan.

Keupayaan ini turut memperlihatkan kepentingan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan pihak industri dalam memastikan pembangunan kurikulum dan kompetensi graduan sentiasa seiring dengan perubahan keperluan pasaran pekerjaan.

Pendekatan pendidikan yang menggabungkan pengetahuan akademik dengan kemahiran praktikal menjadi antara elemen penting dalam menyediakan graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Sementara itu, kemuncak penganugerahan AGE’25 menyaksikan program Sarjana Muda Sains Komputer (Informatik Maritim) dengan Kepujian daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menerima Anugerah Utama Kebolehpasaran Graduan bagi kategori

Pencapaian Kebolehpasaran Graduan dengan pencapaian sebanyak 98.3 peratus.

Pengiktirafan tersebut mengambil kira prestasi kebolehpasaran graduan yang konsisten, termasuk pencapaian kadar kebolehpasaran sekurang- kurangnya 80 peratus selama lima tahun berturut-turut.

Pencapaian ini menunjukkan kepentingan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan program pengajian, pembangunan kompetensi mahasiswa dan pemerkasaan inisiatif kerjaya bagi memastikan graduan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Dalam ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, berkata, bahawa kecemerlangan kebolehpasaran graduan memerlukan komitmen berterusan seluruh warga universiti, khususnya fakulti dan program pengajian.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dan program pengajian dalam memperkukuh kualiti graduan melalui pembangunan kompetensi, pemantapan kurikulum, jaringan industri serta pelaksanaan program kerjaya yang menyokong peralihan graduan ke alam pekerjaan,” ujar beliau.

Menurut beliau, inisiatif pengiktirafan seperti AGE’25 turut menjadi antara titik sentuhan strategik UMT dalam melahirkan mahasiswa yang mandiri, selari dengan aspirasi membentuk mahasiswa IDAMAN UMT yang berupaya memimpin diri, menyesuaikan diri dengan perubahan dan merebut peluang dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.

Selain AGE’25, majlis tersebut turut menyaksikan pengiktirafan UMT oleh Talentbank menerusi penarafan enam bintang bagi bidang Agriculture dan Analytics.

Pengiktirafan tersebt memperlihatkan pencapaian universiti dalam aspek kebolehpasaran graduan mengikut bidang berkaitan, di samping mengukuhkan usaha UMT untuk memastikan program pengajian terus relevan dengan keperluan semasa industri.

Penganjuran AGE’25 juga berperanan sebagai platform untuk menggalakkan penggunaan data kebolehpasaran graduan sebagai asas penilaian prestasi dan perancangan intervensi strategik di peringkat universiti.

Melalui UMT-GEM, universiti akan terus memperkukuh kerjasama dengan fakulti, pihak industri dan agensi strategik bagi
memastikan pembangunan kerjaya mahasiswa dilaksanakan secara menyeluruh, berterusan dan selari dengan perubahan pasaran pekerjaan.

Usaha ini merangkumi pemantapan kemahiran insaniah dan profesional, pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta pengukuhan jaringan strategik bersama industri bagi membantu mahasiswa mengenal pasti peluang kerjaya dan meningkatkan kebolehpasaran selepas menamatkan pengajian.

AGE’25 bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian, malah menjadi pemangkin kepada usaha berterusan UMT melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Kejayaan ini turut memperkukuh aspirasi UMT sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam membangunkan bakat masa hadapan, khususnya bagi menyokong pertumbuhan sektor maritim dan agenda ekonomi biru negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini