MANCHESTER: Masa depan Michael Carrick sebagai pengurus Manchester United semakin menjadi tanda tanya apabila barisan pengurusan tertinggi kelab itu mengadakan perbincangan susulan kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dilaporkan berada di pusat latihan Carrington semalam, dengan kedua-duanya dipercayai menyertai perbincangan menerusi panggilan video bersama pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe serta pengerusi bersama, Joel dan Avram Glazer.
Bagaimanapun, belum ada kepastian sama ada keputusan muktamad sudah dibuat berhubung kedudukan Carrick, termasuk sama ada bekas pemain tengah United itu akan mengendalikan sesi latihan menjelang aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge, Sabtu ini.
Kekalahan kepada Bournemouth menambahkan tekanan terhadap Carrick apabila United kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran, selain merekodkan enam kekalahan daripada 12 perlawanan liga musim ini.
Prestasi hambar itu menyaksikan United mencatat permulaan kempen liga terburuk dalam tempoh 40 tahun, selain gagal meraih kemenangan dalam lapan perlawanan buat kali pertama sejak 2015.
Walaupun pemain diberikan cuti kelmarin, Carrick tetap hadir di Carrington untuk menyaksikan perlawanan tertutup membabitkan pemain simpanan dan skuad remaja menentang Hull City.
Dia tiba pada jam 1.50 tengah hari dan menyaksikan perlawanan bersama pembantunya, Steve Holland serta ketua jurulatih bawah 18 tahun, Darren Fletcher, sebelum meninggalkan pusat latihan tidak lama selepas Wilcox beredar.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Carrick, 45, mengadakan pertemuan dengan Berrada dan Wilcox sepanjang kira-kira tiga jam berada di pusat latihan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kehadiran kapten Bruno Fernandes di Carrington untuk menjalani rawatan bersama Benjamin Sesko, Patrick Dorgu dan Manuel Ugarte turut mencuri perhatian.
Ia berlaku sehari selepas Carrick menggugurkan pemain tengah Portugal itu daripada kesebelasan utama ketika menentang Bournemouth, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kedudukan Fernandes dalam perancangan taktikal pengurus berkenaan.
Carrick sebelum ini menegaskan keputusannya mengetepikan Fernandes dibuat atas pertimbangan bola sepak semata-mata. – AGENSI/UTUSAN











