ALOR SETAR: Kedah mempunyai kira-kira 90 kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas banjir, dengan tumpuan risiko di Lembangan Sungai Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, bagi Lembangan Sungai Muda pula, kawasan yang diberi perhatian antaranya Kuala Muda, Baling, Sik dan Kulim.
“Mengikut maklumat ramalan cuaca yang dibekalkan, fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang berpotensi menyebabkan banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan tanah rendah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti amaran cuaca dan maklumat semasa daripada agensi berkaitan, memantau paras air sungai serta bersedia berpindah sekiranya paras air meningkat secara mendadak,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, penduduk yang perlu berpindah juga disaran membawa dokumen penting, ubat-ubatan dan bekalan asas, selain memastikan keselamatan ahli keluarga terutama kanak-kanak.
Tambah Mohd. Bukhori, APM Kedah bersama agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) juga dalam keadaan bersiap siaga dari segi aset, logistik dan sumber manusia bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang musim monsun.
“APM Kedah mempunyai keseluruhan 556 aset, manakala agensi tindak balas di bawah JPBN Kedah memiliki 6,041 aset bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
“Dari segi kekuatan anggota pula, APM Kedah mempunyai 927 anggota, sementara keseluruhan agensi JPBN Kedah melibatkan 3,658 anggota,” ujarnya.
Sementara itu, seramai 202 mangsa daripada 69 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Yan setakat pukul 12 tengah hari ini, susulan kejadian banjir melanda kawasan mereka.
Ketiga-tiga PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi yang menempatkan 101 mangsa daripada 29 keluarga, SJK (C) Pei Eng (43 mangsa, 22 keluarga) dan Dewan Lestari Guar Chempedak (58 mangsa, 18 keluarga). – UTUSAN











