PETALING JAYA: Sokongan jitu akan sentiasa diberikan khususnya kepada calon muda yang bakal diangkat oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Timbalan Ketua Pemuda PBB Sarawak, Lukanisman Awang Sauni berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, PBB memberi peluang kepada dua muka baharu dan seorang muka baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.
Ia sekali gus katanya, meletakkan jumlah kepemimpinan pemuda seramai empat orang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala dua lagi di Parlimen.
Beliau berkata, kekuatan Pergerakan Pemuda PBB tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimiliki tetapi juga melalui kemampuan menterjemahkan mandat rakyat kepada perubahan yang dapat dirasakan dalam kehidupan seharian.
“Saya turut menyokong kesemua calon pemuda yang bakal diketengahkan oleh parti komponen GPS dan solidariti pemuda PBB kepada rakan komponen akan diterjemahkan melalui sokongan jentera di peringkat akar umbi.
“Sekiranya PBB memberikan ruang kepada muka baharu kepada pemuda, kesiapsiagaan pemuda pada ketika ini adalah di tahap optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DUN Sarawak dibubarkan secara rasmi semalam sekali gus memberi laluan kepada PRN13.
Semasa PRN Sarawak kali ke-12 pada 2021, GPS yang terdiri daripada PBB menang 47 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)(12 kerusi), Parti Rakyat Sarawak (PRS)(11 kerusi) dan Parti Demokratik Progresif (PDP)(enam kerusi).
Berhubung jumlah kerusi yang bakal ditandingi PBB, Lukanisman berkata, sebarang keputusan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan rasmi kepimpinan tertinggi GPS.
“Kami menghormati proses tersebut dan tidak berhasrat mendahului sebarang pengumuman rasmi,” katanya.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, menjelang PRN13, rakyat Sarawak wajar diberikan ruang untuk menilai setiap parti dan calon secara matang berdasarkan rekod pencapaian, dasar yang dikemukakan dan komitmen terhadap kepentingan negeri.
Beliau berkata, kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh dianggap kekal tanpa usaha, sebaliknya perlu terus dibina melalui prestasi, integriti dan keupayaan memenuhi aspirasi masyarakat.
“Masa depan Sarawak adalah tanggungjawab bersama. Pemuda PBB akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan generasi pelapis dan penyertaan anak muda dalam proses demokrasi serta pembangunan negeri.
“Kepercayaan rakyat adalah amanah, bukan hak mutlak. Ia mesti dihormati, dipelihara dan dibuktikan melalui tindakan. Dalam politik, sejarah memberikan kita asas, prestasi membina keyakinan, manakala visi menentukan masa depan.
“Saya yakin GPS mempunyai resipi terbaik dari segi dasar dan polisi yang bakal memberi jalan terbaik kepada masa depan rakyat Sarawak,” katanya. – UTUSAN











