Matrade perkukuh keupayaan eksport PMKS Pahang - Utusan Malaysia

Matrade perkukuh keupayaan eksport PMKS Pahang

MOHAMAD Nizar Mohamad Najib (tengah) bersama Abu Bakar Yusof (kanan) bergambar bersama semasa Hari Eksport Pahang 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hari Eksport Pahang 2026 memperkukuh keupayaan eksport perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Program anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan itu berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, kerajaan negeri berharap lebih banyak produk keluaran Pahang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, seiring pertumbuhan usahawan tempatan yang mampu mengembangkan perniagaan ke luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu melihat lebih banyak produk keluaran Pahang dikenali di luar negara. Kita mahu lebih ramai usahawan tempatan berjaya mengembangkan perniagaan mereka.

“Paling penting, kita mahu kejayaan tersebut turut mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan serta membawa manfaat kepada rakyat dan negeri secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Hari Eksport Pahang 2026 turut memberi tumpuan kepada peluang mengintegrasikan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan syarikat multinasional (MNC), selain aspek kesediaan eksport, pendigitalan perniagaan, pembiayaan, logistik dan akses pasaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, cabaran dalam perniagaan eksport tidak seharusnya membataskan potensi Pahang untuk terus berkembang dalam perdagangan antarabangsa.

“Sebaliknya, usaha memperkukuh daya saing, mempelbagaikan produk dan meningkatkan kesiapsiagaan eksport perlu terus dipergiat bagi membolehkan lebih banyak syarikat tempatan merebut peluang di pasaran global.

“Cabaran eksport yang kita hadapi hari ini tidak seharusnya membataskan aspirasi kita untuk terus berkembang.

“Inilah masanya untuk memperkukuh keupayaan perusahaan tempatan terutama PMKS, meneroka pasaran baharu serta membina hubungan strategik yang mampu membawa produk Pahang ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada 2025, Pahang merekodkan eksport produk bernilai RM22.38 bilion.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, beberapa kategori eksport negeri itu menunjukkan perkembangan positif dengan eksport jentera dan kelengkapan pengangkutan melonjak 412.8 peratus, bahan api dan pelincir meningkat 47.9 peratus, manakala produk makanan berkembang 15.8 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada peringkat nasional, eksport PMKS Malaysia turut meningkat 10.5 peratus kepada RM214.5 bilion pada 2025 berbanding RM194.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu mencerminkan peranan penting PMKS sebagai antara pemacu pertumbuhan dan daya tahan eksport negara.

Selaras dengan momentum pertumbuhan berkenaan, inisiatif di peringkat negeri turut dipergiat bagi membuka akses pasaran global kepada usahawan tempatan.

Antara pencapaian yang diketengahkan ialah penyertaan Pahang sebagai rakan negeri dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.

Sebanyak 20 syarikat Pahang menyertai pameran itu di bawah astaka Kerajaan Negeri Pahang, manakala enam syarikat mengambil bahagian dalam program padanan perniagaan menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Penyertaan itu berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM31.46 juta, sekali gus mencerminkan peluang yang boleh dimanfaatkan syarikat Pahang menerusi penyertaan strategik dalam pameran perdagangan antarabangsa dan program padanan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini