JAKARTA: Tentera Udara Indonesia (TNI AU) melakukan latihan berlepas dan mendarat di laluan sepanjang tiga kilometer di Lebuh Raya Tol Pasuruan–Probolinggo, Jawa Timur bagi menilai kesesuaiannya sebagai landasan alternatif.
“Latihan ini sebahagian daripada usaha TNI AU menguji kesiapsiagaan operasi dan keupayaan kami memanfaatkan infrastruktur sedia ada di wilayah tertentu, khususnya lebuh raya tol, sebagai landasan alternatif bagi operasi tentera udara,” kata Ketua Turus TNI AU, Marsyal Mohamad Tonny Harjono.
Ketika berucap di Probolinggo pada minguu lalu, Harjono berkata, latihan itu memlibatkan dua pesawat Embraer EMB-314 Super Tucano dari Pangkalan Udara Abdulrachman Saleh di Malang dan dua jet pejuang F-16 Fighting Falcon dari Pangkalan Udara Iswahjudi, Madiun.
Beliau berkata, pesawat berkenaan berjaya melakukan pendaratan dan berlepas di laluan lebuh raya tol selebar 24 meter itu.
Harjono berkata, latihan itu menyusuli latihan seumpamanya di Lebuh Raya Tol Terbanggi Besar di Lampung pada 11 Februari 2026.
Beliau menjelaskan bahawa lebuh raya tol hanya digunakan sebagai landasan alternatif dalam situasi kecemasan, sambil menegaskan bahawa keselamatan orang awam dan penggunaan infrastruktur kekal menjadi keutamaan.
“Sebagai contoh, kami boleh menggunakan lebuh raya tol dan infrastruktur tempatan lain sebagai alternatif apabila landasan sedia ada, lapangan terbang atau pangkalan udara tidak lagi boleh digunakan untuk operasi tentera udara,” katanya.
Beliau menambah bahawa TNI AU sudah mengenal pasti beberapa lagi lebuh raya tol untuk latihan pada masa hadapan, termasuk Lebuh Raya Tol Cibinong–Cilincing.
Ia termasuk lebuh raya tol yang dirancang dibina di Lombok, Nusa Tenggara Barat, katanya. – AGENSI











