Trump minta pengundi beri sokongan kepada Netanyahu kekal PM Israel - Utusan Malaysia

Trump minta pengundi beri sokongan kepada Netanyahu kekal PM Israel

GAMBAR fail Donald Trump dengan Benjamin Netanyahu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad sekali lagi menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dengan menggesa rakyat Israel memilih semula pemimpin itu dalam pilihan raya umum Selasa ini sekali gus meneruskan kempen ketenteraan terhadap Iran sehingga selesai.

Dalam hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump merujuk kepada surat sokongan yang diterbitkannya pada 18 Oktober, yang memuji Netanyahu sebagai ‘Perdana Menteri Pejuang yang cemerlang’ dan menekankan hubungan rapat mereka dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.

“Seperti yang diketahui semua orang, termasuk musuh, Bibi (panggilan untuk Netanyahu) dan saya mempunyai hubungan yang baik dalam mencapai kemenangan bersama,” tulis Trump, sambil merujuk kepada operasi ketenteraan AS terhadap Iran yang dikenali sebagai Operasi Kemarahan Epik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Trump mendakwa Iran kehilangan tentera laut dan tentera udaranya, manakala ketenteraan serta ekonominya berada dalam keadaan kucar-kacir. 

Beliau turut mendakwa kadar inflasi Iran mencecah 301 peratus dan sekatan laut menghalang negara itu daripada mengeksport minyak.

Trump  juga mendakwa dua peringkat kepimpinan Iran, merangkumi kepimpinan tentera dan awam, telah dihapuskan.

Menggesa pengundi Israel menyokong Netanyahu, Trump berkata: “Undilah Bibi Netanyahu sebagai Perdana Menteri. Kita mesti menyelesaikan tugas yang telah kita mulakan!”

Dalam surat kepada rakyat Israel pada 18 Oktober, Trump menyifatkan Netanyahu sebagai “Perdana Menteri Pejuang yang hebat” dan “rakan kongsi yang lebih hebat dalam usaha mencapai keamanan” ketika berdepan Iran. 

Beliau merujuk kepada apa yang disifatkannya sebagai ancaman Iran terhadap Israel dan AS selama beberapa dekad.

Trump berhujah bahawa Iran akhirnya akan bertindak berdasarkan retoriknya sekiranya negara itu tidak ditentang.

Beliau mendakwa negara berkenaan telah dimusnahkan secara sistematik, dari segi ketenteraan dan kewangan.

Beliau menambah bahawa AS terpaksa mengambil alih usaha itu sekiranya Israel memilih pemimpin lain.

“Jika Israel mempunyai pemimpin yang salah, iaitu sesiapa sahaja selain Bibi, Amerika terpaksa melaksanakan tugas ini sendiri, dan saya tidak cenderung berbuat demikian,” tulisnya.

Dalam pilihan raya itu, Netanyahu daripada parti Likud bersaing dengan anak kepada pendatang dari Maghribi, dan juga bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot, 66, bagi menjadi perdana menteri.

Tinjauan sebelum ini menunjukkan Netanyahu dan Eisenkot bersaing sengit, sebelum larangan penerbitan tinjauan baharu berkuat kuasa dalam tempoh tiga hari menjelang pengundian pada Selasa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini