Industri padi menuju kematian? - Utusan Malaysia

Industri padi menuju kematian?

HARGA beras di pasaran borong RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Industri padi dan beras tempatan kini berdepan tekanan kritikal apabila rantaian bekalan daripada peringkat hulu hingga ke hilir terhimpit akibat jurang harga yang tidak seimbang, sekali gus mengancam kelangsungan hidup petani serta daya tahan pengusaha kilang.

Pengurus Operasi Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid berkata, harga beras di pasaran borong RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama.

Katanya, kerugian RM200 bagi setiap tan metrik itu belum mengambil kira kos kendalian kilang, sekali gus meletakkan pengusaha tempatan dalam keadaan semakin terhimpit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar perolehan sebenar beras daripada pemprosesan padi hanya sekitar 60 peratus mengikut pemutuan sebenar. Keadaan ini menyebabkan kos pengeluaran terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, kemasukan beras import yang lebih murah turut menambah tekanan kepada pengusaha tempatan apabila kos ketibaannya dianggarkan antara RM1,800 hingga RM2,100 satu tan metrik, sebelum dijual kepada pemborong pada harga RM2,600.

Beliau berkata, tekanan kewangan dihadapi kilang akhirnya memberi kesan kepada pesawah melalui proses pemotongan berat padi yang didakwa tidak telus.

Mujahid memberikan simulasi pemprosesan 1,000 kilogram padi kasar dengan kadar pemotongan 20 peratus, yang membolehkan bayaran dibuat bagi 800 kilogram padi bernilai RM1,200 sebelum menghasilkan kira-kira 480 kilogram beras.

Bagaimanapun, katanya, apabila kos padi meningkat kepada RM1,500, bayaran hanya dapat dibuat bagi 736 kilogram, menyebabkan kadar pemotongan meningkat kepada 26.4 peratus berbanding 20 peratus yang sepatutnya.

“Keadaan ini membebankan pesawah sedangkan mereka bergantung kepada hasil tanaman untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Katanya, isu berkenaan bukan sekadar membabitkan harga, sebaliknya turut menyentuh keselamatan makanan negara sekiranya pengusaha kilang dan pesawah tempatan tidak lagi mampu bertahan.

“Pesawah mungkin hilang minat menanam padi jika terus berdepan pemotongan tinggi, manakala kilang kecil pula semakin sukar menanggung kos operasi,” katanya.

Mujahid berkata, beliau mendedahkan keadaan itu kerana bimbang industri beras tempatan semakin dikuasai pihak tertentu, sedangkan pengusaha kecil berdepan kesukaran untuk bersaing.

Menurutnya, pengusaha kilang padi Melayu beragama Islam yang masih bertahan dalam industri itu juga semakin berkurangan, dengan anggaran hanya dua atau tiga orang.

Malah, tindakannya bersuara bukan didorong sentimen perkauman, sebaliknya kerana mahu memastikan kelangsungan industri beras tempatan terus terpelihara.

“Saya berdiam diri selama ini kerana cuba bertahan, tetapi kini merasakan perlu mendedahkan keadaan sebenar demi masa depan industri ini,” katanya.

Beliau turut bersedia dipanggil mana-mana pihak bagi menjelaskan keadaan sebenar yang dihadapi pengusaha kilang beras di lapangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini