SEPANJANG menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah berhadapan cabaran untuk mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab melindungi khazanah alam.
Ketika itu, Malaysia sedang melalui proses perindustrian dan pembandaran yang pesat, manakala isu perubahan iklim, keselamatan tenaga, kemerosotan biodiversiti dan pencemaran rentas sempadan semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Dalam keadaan inilah pentadbiran beliau memberikan penekanan terhadap pembangunan mampan melalui perancangan pembangunan negara, pengurusan sumber asli serta kerjasama alam sekitar di peringkat serantau dan global.
Sumbangan tersebut dapat dilihat bukan sahaja melalui penggubalan dasar domestik, malah melalui pendirian Malaysia dalam rundingan dan deklarasi antarabangsa.
RMK-9
Antara dokumen terpenting yang mencerminkan pendekatan pentadbiran Pak Lah ialah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), 2006-2010.
Pelan pembangunan lima tahun ini memberikan ruang yang jelas kepada pengurusan sumber asli dan pemuliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.
Melalui Bab 22, Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Asli, RMK-9 menekankan kepentingan penggunaan sumber secara mampan, perlindungan kawasan sensitif alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan hutan, sumber air dan ekosistem marin.
Dokumen tersebut turut menggariskan keperluan memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memperluas kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan.
Pendekatan ini membawa satu mesej penting: Pembangunan tidak sewajarnya dinilai semata-mata berdasarkan pembinaan bangunan, pembukaan kawasan perindustrian atau pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya, kemajuan juga perlu diukur berdasarkan keupayaan negara mengekalkan sumber semula jadi yang menjadi asas kehidupan rakyat.
Perhatian yang diberikan kepada kawasan sensitif alam sekitar amat signifikan kerana tekanan pembangunan tanah, penyahutanan dan perubahan guna tanah boleh menjejaskan kawasan tadahan air, habitat hidupan liar serta keseimbangan ekologi.
RMK-9 menyediakan kerangka perancangan untuk menangani cabaran tersebut melalui integrasi pertimbangan alam sekitar dalam pembangunan fizikal.
Sumber tenaga alternatif
Pengenalan Dasar Biobahan Api Negara pada Mac 2006 menggariskan lima teras strategik merangkumi penggunaan biobahan api dalam pengangkutan, industri, pembangunan teknologi, eksport serta usaha ke arah persekitaran yang lebih bersih.
Pada 21 Mac 2006, Pak Lah melancarkan penggunaan bahan api berasaskan sawit, Envo Diesel, sebagai salah satu inisiatif awal memperkenalkan tenaga alternatif di negara ini.
Menariknya, inisiatif tersebut menghubungkan pembangunan sektor pertanian dengan teknologi tenaga.
Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit utama dunia mempunyai peluang untuk membangunkan industri baharu yang berpotensi menyumbang kepada keselamatan tenaga dan pertumbuhan ekonomi.
Khazanah hutan
Pemeteraian Deklarasi Heart of Borneo pada 12 Februari 2007 yang melibatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei bertujuan memperkukuh kerjasama pemuliharaan kawasan hutan Borneo, termasuk kawasan yang merentasi sempadan tiga negara.
Melalui pendekatan pengurusan sumber hutan secara bersama, ketiga-tiga negara berusaha melindungi kawasan berkepentingan ekologi, mengekalkan biodiversiti serta menggalakkan penggunaan tanah dan hutan secara mampan.
Diplomasi perubahan iklim
Pada 28 September 2007, ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-62 di New York, Pak Lah menyatakan sokongan Malaysia terhadap persidangan iklim PBB yang berlangsung di Bali, Indonesia, pada Disember 2007, yang dikenali sebagai COP13.
Komitmen Pak Lah terhadap kerjasama alam sekitar turut terserlah melalui penyertaan Malaysia dalam Deklarasi Singapura mengenai Perubahan Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar, yang diterima pakai sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ketiga pada 21 November 2007.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 yang berlangsung sehari sebelumnya, pemimpin ASEAN turut menerima pakai Deklarasi ASEAN mengenai Kelestarian Alam Sekitar.
Deklarasi ini memberikan penekanan kepada pemuliharaan sumber asli, pengurusan pencemaran rentas sempadan serta penggunaan sumber tenaga alternatif secara mampan.
Menangani jerebu
Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah ditandatangani pada 10 Jun 2002, sebelum Pak Lah menjadi Perdana Menteri. Malaysia turut menyempurnakan proses ratifikasi sebelum pentadbiran beliau bermula.
Perjanjian tersebut mula berkuat kuasa pada 25 November 2003, iaitu ketika awal pentadbiran Pak Lah.
Sepanjang tempoh berikutnya, ASEAN meneruskan usaha memperkukuh pemantauan kebakaran hutan dan tanah gambut, pencegahan pembakaran terbuka, perkongsian maklumat serta tindak balas bersama terhadap pencemaran jerebu.
Malah, dalam ucapannya pada Ogos 2006, Pak Lah turut merujuk komitmen Malaysia dan Indonesia untuk melaksanakan larangan pembakaran terbuka bagi pembangunan perladangan.
Usaha sebegini menghubungkan kepentingan perdagangan dan pertanian dengan tanggungjawab menjaga kualiti alam sekitar serantau.
Bencana
Susulan daripada bencana tsunami Lautan Hindi pada 26 Disember 2004, dalam Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN mengenai tsunami yang berlangsung di Jakarta pada 6 Januari 2005, Pak Lah menekankan keperluan meningkatkan kerjasama antarabangsa, khususnya di peringkat serantau, bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana pada masa hadapan.
Kesedaran terhadap risiko bencana ini turut berkembang melalui Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan yang ditandatangani pada 26 Julai 2005.
Perjanjian tersebut menyediakan kerangka kerjasama serantau dalam pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan.
Legasi
Pak Lah telah memimpin Malaysia pada suatu zaman ketika isu perubahan iklim dan kelestarian alam semakin menuntut perhatian pemimpin dunia.
Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kekayaan yang dicipta pada hari ini, tetapi turut diukur melalui khazanah alam yang berjaya dipelihara untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Itulah antara pengajaran daripada legasi alam sekitar Pak Lah yang wajar terus dikaji, dihargai dan dijadikan renungan dalam pembangunan Malaysia. – UTUSAN
DR. Mohamad Faizal Abd. Matalib ialah Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia.











