Polis cari saksi, rakaman dashcam kemalangan babitkan wartawan Bernama, NST - Utusan Malaysia

Polis cari saksi, rakaman dashcam kemalangan babitkan wartawan Bernama, NST

KEADAAN kereta dinaiki dua wartawan yang dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Kledang Permai, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan dua wartawan apabila kereta yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu, di sini hari ini

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi ketika kereta dinaiki kedua-dua wartawan berkenaan dalam perjalanan dari Meru menghala ke Bagan Datuk.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang datang dari arah sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing di atas jalan raya manakala lori terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua wartawan dan pemandu lori yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, kemalangan membabitkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Afiradina Arshad, 34, yang memandu kereta manakala penumpangnya ialah wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37.

Kedua-dua mereka yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza itu dalam perjalanan dari Meru Raya bagi membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini