Buka pasaran, lonjak potensi PMKS negara

Buka pasaran, lonjak potensi PMKS negara

BERDASARKAN laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ini menyumbang sebanyak RM689.8 bilion atau 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh: Prof. Dr. Rusmawati Said

PERUSAHAAN Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor ini menyumbang sebanyak RM689.8 bilion atau 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025, selain menyediakan pekerjaan kepada 8.09 juta orang, bersamaan 48.7 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.

Sumbangan besar ini membuktikan bahawa pembangunan PMKS memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, di sebalik pencapaian tersebut, masih banyak PMKS yang mempunyai produk dan perkhidmatan berkualiti tetapi berdepan kesukaran untuk mengembangkan perniagaan.

Antara cabaran utama ialah akses pasaran yang terhad, kekangan modal dan kesukaran mendapatkan pelanggan baharu. Justeru, usaha kerajaan melalui Belanjawan 2027 untuk memperluas peluang pasaran merupakan langkah yang amat dialu-alukan.

Pendekatan ini penting kerana perusahaan kecil bukan sahaja memerlukan pembiayaan, tetapi juga peluang perniagaan yang membolehkan mereka berkembang dan berdikari.

Antara inisiatif utama ialah peningkatan nilai peluang perolehan kerajaan kepada RM7.5 bilion bagi kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4, berbanding RM4 bilion pada tahun 2026. Peningkatan sebanyak RM3.5 bilion atau 87.5 peratus ini membuka ruang yang lebih luas kepada kontraktor kecil untuk memperoleh projek dan meningkatkan keupayaan perniagaan.

Selain itu, bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan kemudahan kerajaan, had perolehan secara lantikan terus sehingga RM200,000 dan sebut harga sehingga RM3 juta turut diumumkan.

Peluang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kontraktor yang berjaya memperoleh projek, tetapi juga kepada pembekal bahan binaan, pengusaha pengangkutan dan pekerja tempatan. Sebagai contoh, projek pembaikan bangunan atau penyelenggaraan kemudahan awam akan mewujudkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan.

Kesan rantaian ini berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya di kawasan luar bandar dan bandar kecil. Kerajaan turut menyediakan hampir RM700 juta bagi pelaksanaan projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk kerja menaik taraf gerai, pasar, tandas dan kemudahan awam. Inisiatif ini memberi manfaat kepada kontraktor kecil serta peniaga yang menggunakan kemudahan tersebut.

Pasar dan gerai yang lebih bersih, selesa dan tersusun berpotensi menarik lebih ramai pelanggan serta meningkatkan jualan.

Selain itu, lebih 10,000 peniaga kecil yang menyewa tapak dan premis terpilih milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapat manfaat daripada pengurangan kadar sewa sebanyak 50 peratus yang dilaksanakan mulai April 2026 hingga Disember 2027.

Langkah ini membantu mengurangkan kos operasi, khususnya bagi penjaja dan peniaga mikro. Satu lagi inisiatif yang amat bermakna ialah penyediaan geran padanan sehingga RM5,000 bagi membantu PMKS mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama. Bagi pengusaha kecil, kos pematuhan, penyediaan dokumentasi dan penambahbaikan premis sering menjadi halangan untuk memperoleh pensijilan tersebut.

Bantuan ini dapat mengurangkan sebahagian daripada beban kewangan, di samping menggalakkan perusahaan meningkatkan standard pengeluaran. Pensijilan halal bukan sekadar pengiktirafan terhadap pematuhan syariah, tetapi turut mempunyai nilai ekonomi yang besar.

Pensijilan ini meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka peluang kepada PMKS untuk memasuki rangkaian peruncitan dan pasaran yang mensyaratkan pengiktirafan halal. Potensinya jelas apabila eksport halal Malaysia mencatatkan nilai RM68.52 bilion pada tahun 2025, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Halal Development Corporation (HDC), sebanyak RM36.86 bilion daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh sektor makanan dan minuman halal. Pencapaian ini menunjukkan bahawa industri halal berpotensi menjadi antara pemacu pertumbuhan PMKS Malaysia. Sehubungan itu, kerjasama antara universiti, industri dan agensi kerajaan perlu diperkukuh melalui pemindahan ilmu dan teknologi, khususnya dalam pembangunan produk, keselamatan makanan, pembungkusan serta pematuhan piawaian pensijilan.

Kepakaran universiti boleh dimanfaatkan untuk membantu perusahaan kecil menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran. Malaysia sendiri mempunyai contoh kejayaan seperti Mamee, Beryl’s dan Brahim’s yang berjaya membawa produk tempatan ke pasaran luar negara.

Walaupun syarikat-syarikat ini kini telah berkembang kepada skala yang lebih besar, pencapaian mereka membuktikan bahawa perusahaan tempatan mampu membina jenama antarabangsa melalui penghasilan produk berkualiti, inovasi dan strategi pemasaran yang berkesan.

Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa sudah tiba masanya PMKS yang berdaya saing diberikan peluang dan sokongan untuk melangkah ke pasaran antarabangsa. Dalam hal ini, kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), MATRADE, universiti serta agensi berkaitan wajar diperkukuh dengan memberikan tumpuan kepada PMKS yang bersedia untuk mengeksport.

Sokongan perlu merangkumi pembangunan produk, pemadanan dengan pembeli antarabangsa, pembiayaan dan bimbingan sehingga perusahaan berjaya membina pasaran yang berterusan. Keberkesanan inisiatif ini pula perlu diukur berdasarkan peningkatan jualan, bilangan pengeksport baharu dan pertumbuhan produktiviti, bukan sematamata jumlah bantuan yang disalurkan.

Diharapkan peluasan akses pasaran ini, bersama-sama peningkatan kapasiti pengeluaran, dapat mendorong PMKS memanfaatkan teknologi baharu, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti. Usaha kerajaan ini juga diharapkan dapat merancakkan pertumbuhan perusahaan tempatan serta memperkukuh daya saing mereka dalam menghadapi persaingan pasaran yang lebih luas dan berhasil.

Dengan sokongan yang tepat, PMKS berpotensi menjadi pemacu kepada peningkatan eksport, mencipta peluang pekerjaan, pengukuhan industri tempatan dan pengurangan kebergantungan terhadap import bagi produk yang mampu dihasilkan secara berdaya saing dalam negara. “PMKS Malaysia: Kukuh di Pasaran Tempatan, Unggul di Persada Dunia.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini