SABAN Jumaat hingga Ahad, Kampung Teluk Talipon, Kuala Kedah ini meriah dengan deretan kenderaan yang menderu masuk ke sebuah kafe berlatar belakangkan sawah padi, Rumah Kopi.
Rumah Kopi yang mula beroperasi pada Ogos 2024 itu kini menjadi antara persinggahan penggemar sarapan masakan tradisional Kedah seperti peknga dan pulut sambal khususnya mereka yang mahu menikmati sajian warisan dalam suasana santai.
Cetusan idea anak muda, Muhammad Adli Syamil Muzammil, 21, dari Kuala Kedah, kafe itu mengetengahkan menu warisan tradisional seperti peknga, pulut sambal, pulut kukus ikan masin, pulut pelam dan pulut kuning.

RUMAH KOPI
Lokasi: Kampung Teluk Talipon Kuala Kedah Kedah
Operasi: Jumaat, Sabtu, Ahad 7 hingga 11.30 pagi dan 4.30 petang hingga 10 malam
Menu utama seperti peknga atau lempeng yang dicicah dengan gulai ikan temenung menjadi pilihan pengunjung Rumah Kopi kerana keenakannya hasil adunan berasaskan tepung dan kelapa yang sempurna.
Walaupun dimasak garing di luar adunan yang sempurna itu menjadikan setiap keping peknga enak kerana teksturnya masih lembut.
Selain peknga, Pulut Sambal Warisan Emakku turut menjadi pilihan yang boleh dicuba di kafe berkenaan.

Gabungan pulut dengan sambal ikan kerisi itu memberikan pilihan rasa berbeza kepada pelanggan yang mahu menikmati sajian tradisional dalam satu kunjungan.
Lebih menarik, Rumah Kopi menawarkan pulut sambal percuma kepada pelanggan pada setiap Jumaat sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung yang mahu singgah menikmati makanan sambil meluangkan masa bersama keluarga atau rakan.
Bagi mereka yang mahukan pilihan lebih pelbagai, kafe berkenaan turut menyediakan hidangan seperti laksa, mi kari dan daging bakar. Kepelbagaian menu ini membolehkan pelanggan memilih sajian mengikut selera masing-masing.
Rumah Kopi yang diusahakan oleh Muhammad Adli Syamil yang juga bekas pemain bola sepak Kedah U17 itu bersama ibu bapanya, Muzzamil Murad, 50, dan Kamala Azlina Kosin, 48, dengan harapan untuk mengetengahkan sajian tradisional daripada resepi nenek moyang mereka.

Menurut Muhammad Adli Syamil yang pernah menyarung jersi Syamil itu, resipi peknga dan pulut sambal itu adalah turun temurun daripada neneknya yang kemudian diperturunkan kepada ibu bapanya.
Katanya, setiap hari dapur Rumah Kopi menyediakan sehingga 700 keping peknga kepada pelanggan dan jumlah itu berganda ketika musim cuti sekolah.
“Banyak yang cakap peknga di sini sedap kerana lembut walaupun setelah beberapa jam dimasak. Resipi peknga adalah air tangan ibu saya sendiri,” katanya ketika ditemui di kafe berkenaan baru-baru ini.
Cukup istimewa di Rumah Kopi juga adalah pulut sambal yang merupakan hidangan wajib bagi setiap pelanggannya. Pulut sambal Warisan Emakku itu kata Syamil, juga merupakan resipi neneknya yang kemudian diperturunkan kepada bapanya.
“Setiap hari kami menghasilkan lebih 3,000 pulut sambal bukan sahaja untuk Rumah Kopi tetapi juga tempahan luar termasuk dari luar Kedah,” katanya.
Menurut Syamil, Rumah Kopi dibuka untuk dua sesi iaitu pagi untuk sarapan dan petang pula bagi makan malam dengan menu pelbagai jenis masakan barat.-UTUSAN










