‘Tangan baharu’ penyambung warisan wayang kulit

‘Tangan baharu’ penyambung warisan wayang kulit

YUSPHA Ziladen Yusoff menunjukkan sebahagian patung wayang kulit yang dimilikinya di Kampung Raja, Besut, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Di sebalik kelincahan patung kulit bergerak di sebalik kelir atau layar putih dan alunan muzik tradisional yang mengi­ringi penceritaan, persembahan wayang kulit di daerah ini yang dahulunya menjadi hiburan masyarakat, kian ‘hanyut’ da­lam arus ke­modenan.

Kini wayang kulit berdepan cabaran besar apabila seni wa­risan itu semakin kehilangan pewaris dalam kalangan ge­nerasi muda.

Penggiat seni tradisional itu, Yuspha Ziladen Yusoff, 54, berkata, kebimbangan terhadap masa depan wayang kulit mendorongnya mengambil inisiatif melatih anaknya dan beberapa anak muda bagi membentuk generasi pelapis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkembangan wayang kulit di Besut semakin merosot apabila penggiat yang masih aktif kebanyakannya terdiri daripada golongan berusia. Anak muda yang berminat pula perlu melalui proses pembelajaran yang panjang sebelum mampu me­nguasai persembahan.

“Menyedari keadaan itu, saya mengumpulkan anak-anak muda untuk menjalani latihan muzik dan mengenali lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada tradisi wayang kulit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Raja, di sini.

Katanya, anak-anak muda itu juga diperkenalkan dengan keseluruhan seni persembahan yang menggabungkan muzik, penceritaan, penghayatan watak dan kemahiran menggerakkan patung.

Jelasnya, minat tidak boleh dibentuk dalam sehari kerana seseorang yang mahu menjadi pemain wayang kulit perlu menjalani latihan berulang-kali sehingga mahir.

Yuspha Ziladen yang merupakan seorang pendidik berkata, dia membimbing anak di­diknya secara konsisten seperti mengajak mereka datang berlatih selepas pulang dari sekolah.

Katanya, daripada latihan berterusan itulah minat mula tumbuh dan beberapa anak muda berpeluang merasai pe­ngalaman sebenar membuat persembahan.

SRI ARJUNA JADI WADAH KEBANGKITAN

Kesungguhan menghidupkan semula seni itu membawa Yuspha Ziladen kepada penubuhan kumpulan wayang kulit Sri Arjuna sekitar 2013 sebelum kumpulan berkenaan mendapat peluang membuat persembahan setahun kemudian.

Pengalaman membuat per­sembahan dalam setiap acara di negeri ini menjadi antara detik penting buat kumpulan itu, meskipun anggotanya masih baharu dalam dunia wayang kulit.

Pengalaman tersebut membuktikan bahawa usaha melahirkan pelapis bukan sesuatu yang mustahil asalkan mereka diberikan ruang untuk belajar, berlatih dan menimba pengalaman di hadapan penonton.

PASUKAN Sri Arjuna membuat persembahan wayang kulit di sekitar Besut, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

JIWA DALAM WATAK

Wayang kulit bukan sekadar hiburan yang memaparkan bayangan watak di sebalik kelir sebaliknya khazanah budaya yang sarat dengan nilai kehidupan, pengajaran dan identiti masyarakat Melayu.

Keunikan per­sembahan terletak pada gabungan kemahiran tok dalang menggerakkan patung mengolah suara watak, menyampaikan cerita serta menyelaraskan persembahan dengan iringan muzik tradisional.

“Setiap gerakan patung dan dialog yang disampaikan me­nuntut kemahiran serta pengalaman menjadikan penguasaan seni berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipelajari dalam tempoh singkat.
“Malah, pemain atau tok dalang bukanlah orang sebarangan yang boleh membawa pelbagai cerita dan perlu mempunyai ‘jiwa’ setiap watak yang dimainkan,” kata Yuspha Ziladen.

Dalam persembahan tradisional, cerita hikayat seperti Hikayat Seri Rama dan hikayat berkaitan Bunga Adani menjadi antara bahan penceritaan yang memerlukan penguasaan jalan cerita serta disiplin untuk menyampaikan kisah sehingga selesai.

Selain cerita hikayat, penceritaan semasa juga boleh diketengahkan dengan memasukkan mesej berkaitan kehidupan masyarakat termasuk kepen­tingan menjaga kebersihan dan isu yang dekat dengan golongan muda.

Pendekatan itu memperlihat bahawa wayang kulit masih mempunyai ruang untuk ­berkembang sebagai medium hiburan dan penyampaian mesej positif tanpa mengetepikan akar tradisi­nya.

KOS TINGGI, KEMAHIRAN JADI CABARAN

Selain kekurangan pelapis, kos mendapatkan patung wa­yang kulit turut menjadi antara cabaran kepada usaha mengembangkan seni berkenaan.

Patung yang dihasilkan secara buatan tangan itu menggunakan kulit memerlukan ketelitian, masa dan kemahiran tertentu.

Harga bagi satu watak boleh mencecah antara RM500 hingga RM700 bergantung pada jenis dan pembuatannya.

Yuspha Ziladen ber­kata, bagi persembahan yang memerlukan puluhan watak, kos mengumpulkan koleksi lengkap boleh menjadi beban kepada kumpulan yang masih bertatih membina nama.

Dia turut mendapatkan sebahagian koleksi daripada penggiat lama yang tidak lagi menggunakannya, selain membeli patung baharu bagi meme­nuhi keperluan persembahan.

“Koleksi yang dikumpulkan bukan sekadar bahan persembahan malah menjadi khazanah yang perlu dijaga dengan teliti supaya tidak rosak akibat air atau penyimpanan yang tidak sesuai.

“Keadaan ini menjadikan usaha memulihara wayang kulit bukan hanya berkaitan pewarisan kemahiran tetapi turut melibatkan penjagaan peralatan dan bahan seni yang semakin sukar diperoleh,” katanya.

MANFAAT MEDIA SOSIAL

Dalam usaha menarik minat generasi muda, Yuspha Ziladen berpandangan promosi melalui televisyen dan media sosial perlu diperkasa supaya wayang kulit dapat diperkenal kepada khalayak yang lebih luas.

Katanya, platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram boleh dimanfaatkan untuk memaparkan keunikan persembahan, memperkenal watak, mengetengahkan kemahiran pemain serta berkongsi pro­ses latihan di sebalik tabir.

WARISAN PERLU DITERUSKAN

Sokongan masyarakat, pen­dedahan melalui media dan ruang persembahan yang konsisten perlu bergerak se­iring bagi memastikan ilmu yang dimiliki penggiat lama tidak terhenti bersama usia mereka.

Lebih penting, generasi muda perlu melihat wa­yang kulit sebagai seni yang boleh dipelajari, diterokai dan disesuaikan dengan perkembangan semasa tanpa menghilangkan identiti asalnya.

Selagi masih ada yang sanggup mengajar dan ada anak muda yang mahu belajar, selagi itulah peluang untuk mengangkat semula wayang kulit Besut tetap terbuka.

“Cabaran kini bukan sekadar memastikan patung terus bergerak di sebalik kelir tetapi memastikan ada tangan baharu yang sanggup menyambung warisan itu untuk generasi akan datang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini