Sesi persekolahan di Johor kembali dibuka bermula minggu depan - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan di Johor kembali dibuka bermula minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua institusi pendidikan di seluruh Johor akan dibuka semula untuk pengoperasian bermula 26 Oktober, iaitu Isnin depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan situasi jerebu serta penilaian daripada agensi berkaitan di negeri ini.

Menurut beliau, keputusan pembukaan semula sekolah-sekolah di negeri ini turut diperkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan ini mengambil kira trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Johor sejak lima hari lalu. Perubahan arah angin mulai hari ini, peningkatan kelembapan serta jangkaan hujan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu.

“Pembukaan semula sekolah ini juga penting bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Dr. Muhammad Naqib, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus melakukan penilaian risiko kesihatan bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan termasuk penguatkuasaan pemakaian pelitup muka berdasarkan bacaan IPU semasa,” katanya.

Terdahulu, sesi persekolahan secara fizikal di negeri ini telah dihentikan selama dua minggu susulan keadaan cuaca jerebu yang menyaksikan bacaan IPU melepasi tahap tidak sihat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini