APABILA melihat gambar Dara, Amoi dan Kelat (DAK) di Jepun, memang mudah hati kita tersentuh. Nama pun nama Malaysia. Tentu ada yang terbayang gajah-gajah ini berjalan dalam hutan, mandi sungai dan berkubang di tanah air sendiri.
Pak Aboo faham perasaan itu. Tetapi dalam urusan hidupan liar, rasa sayang perlu disertai pertimbangan yang teliti.
Pada pandangan Pak Aboo, membawa pulang DAK bukan langkah pertama yang patut diambil. Kita perlu tentukan dahulu keadaan sebenar gajah itu, apa yang perlu diperbaiki dan sama ada kebajikan DAK boleh dipenuhi dengan baik di Zoo Tennoji?
Perkara pertama adalah kerjasama yang sudah dipersetujui. Berdasarkan penerangan rasmi kerajaan, program antara Zoo Taiping dengan Zoo Tennoji dirancang untuk tempoh 25 tahun, melalui perjanjian yang ditandatangani pada 2022.
Ini satu komitmen panjang yang wajar diteliti sebelum mendesak supaya dibatalkan. Perlu diperiksa tanggungjawab kedua-dua pihak, syarat kebajikan dan ruang untuk membuat semakan. Tanpa membaca keseluruhan perjanjian, kita tidak patut mendakwa Malaysia langsung tidak boleh meminta mereka kembali.
Bagaimanapun, perjanjian 25 tahun juga membawa tanggungjawab selama 25 tahun. Bukan hantar gajah, bergambar, kemudian masing-masing buat hal sendiri.
Sepanjang tempoh itu mesti ada penjagaan veterinar, kakitangan berkemahiran, pemantauan dan kerjasama berterusan. Malaysia berhak meminta bukti tanggungjawab itu dilaksanakan. Menghormati perjanjian tidak bermaksud kita perlu diam apabila timbul persoalan.
Perkara kedua, kita kena faham apa maksud ‘bawa balik’. Adakah balik Malaysia bermakna Dara, Amoi dan Kelat akan terus dilepaskan ke hutan? Belum tentu.
Tanpa penilaian pakar yang mengesahkan kesesuaian DAK untuk dipulihkan dan dilepaskan, perancangan kepulangan perlu menyediakan penjagaan berterusan di fasiliti yang sesuai, sama ada zoo atau pusat konservasi.
Jadi, soalan penting, apakah keadaan yang benar-benar akan menjadi lebih baik selepas mereka pulang? Kita perlu tahu tempatnya, kemudahannya, siapa penjaganya dan bagaimana kehidupan harian mereka akan diuruskan.
Di sini juga Pak Aboo hendak betulkan sedikit istilah. Kita selalu menyebut gajah yang sudah biasa dengan manusia sebagai ‘gajah domestik’.
Sebenarnya, jinak atau terbiasa dengan penjagaan manusia tidak sama dengan domestikasi merentas generasi. DAK tetap gajah, dengan keperluan biologi dan tingkah laku seekor gajah.
Pada masa sama, kita tidak boleh terus memutuskan bahawa DAK selama-lamanya mustahil dilepaskan. Itu memerlukan penilaian individu. Panduan IUCN (International Union for Conservation of Nature) menekankan perancangan pelepasan yang mengambil kira kebajikan haiwan, biodiversiti dan risiko kepada masyarakat sekitar.
Maka, jangan kita menjanjikan gambaran hari ini naik kapal terbang, esok sudah bebas meredah belantara. Tanpa program pelepasan meyakinkan, kepulangan itu pada asasnya adalah perpindahan antara dua tempat penjagaan.
Perpindahan begitu mungkin wajar, tetapi manfaatnya mesti jelas. Tempat penerima perlu mempunyai kemudahan, kakitangan, peruntukan dan pelan pengurusan.
Perjalanan pulang itu sendiri juga perlu dipertimbangkan. Memindahkan gajah melibatkan persediaan, pengendalian, pengangkutan dan penyesuaian dengan persekitaran baharu. Semuanya boleh diuruskan secara profesional, tetapi mesti ada tujuan kebajikan yang jelas.
Ini tidak bermakna kebimbangan orang ramai boleh diketepikan. Kalau ada kecederaan, pergerakan berulang yang membimbangkan atau masalah pengurusan, siasatlah dengan rapi. Begitu juga kenyataan rasmi bahawa semuanya baik. Tunjukkan bukti yang boleh dinilai. Pihak berkuasa Taiping telah melaporkan pemantauan serta petunjuk kesihatan yang positif.
Maklumat itu perlu dipertimbangkan bersama penilaian bebas supaya gambaran keadaan DAK lebih lengkap.
Pak Aboo juga kurang bersetuju kalau berat badan dijadikan ukuran utama.
Bertambah berat memang satu maklumat berguna, tetapi penilaian kebajikan perlu lebih menyeluruh.
Pendekatan Lima Domain yang diterangkan WAZA ( World Association of Zoos and Aquarium) merangkumi pemakanan, persekitaran, kesihatan fizikal, tingkah laku dan pengalaman mental.
Kita perlu tahu sama ada gajah boleh berehat dengan selesa, mencari makanan, bergerak, berinteraksi dan mempunyai pilihan dalam persekitaran mereka.
Cadangan Pak Aboo mudah. Laksanakan penilaian bebas, terbitkan dapatan dan tetapkan pelan pembaikan jika ada kelemahan.
Nyatakan siapa bertanggungjawab, bila pembaikan mesti selesai dan bagaimana hasilnya akan diperiksa semula. Pakar Malaysia dan Jepun boleh bekerjasama, termasuk dalam latihan kakitangan dan perkongsian pengalaman penjagaan.
Orang ramai pula patut diberikan laporan yang mudah difahami. Jika semuanya memuaskan, terangkan asas penilaian itu.
Jika ada masalah, akui dan jelaskan tindakan pembetulannya. Kepercayaan lebih mudah dibina apabila maklumat dikongsi secara terbuka.
Kebimbangan rakyat boleh menjadi dorongan untuk memperbaiki penjagaan DAK sepanjang tempoh kerjasama itu.
Perjanjian 25 tahun memberi asas untuk kesinambungan penjagaan, bukannya alasan untuk membiarkan kelemahan berlarutan.
Jika masalah serius tidak dapat diperbaiki, pilihan memindahkan DAK mesti kekal terbuka. Tetapi sebelum sampai ke situ, gunakan segala ruang kerjasama untuk memastikan DAK menerima kehidupan sebaik mungkin.
Itulah tanggungjawab yang datang bersama keputusan menghantar DAK ke sana.
ABU ZAHRIM ISMAIL atau Pak Aboo ialah bekas kakitangan Jabatan PERHILITAN yang telah bersara dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Taman Negeri Pahang. Pengalaman beliau merangkumi kerja lapangan hidupan liar, pengurusan kawasan perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti.











