RIYADH: Dua letupan dilaporkan berlaku di ibu negara Arab Saudi awal pagi Sabtu ketika kumpulan Houthi di Yemen meneruskan serangan terhadap negara berkenaan.
Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan sistem amaran awal diaktifkan bagi memberi amaran kepada penduduk berhubung kemungkinan ancaman.
Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi berkata pihaknya memintas sebuah peluru berpandu balistik yang menuju ke Riyadh serta sebuah dron di Wilayah Timur.
Arab Saudi berdepan serangan berterusan kumpulan yang disokong Iran itu sejak awal bulan ini, termasuk serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang disifatkan sebagai paling dahsyat di negara itu dalam tempoh beberapa tahun.
Pertempuran di Yaman kembali tercetus pada Julai selepas gencatan senjata yang rapuh selama empat tahun, beberapa bulan selepas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran mencetuskan krisis di rantau itu.
Konflik di Yemen meragut ratusan ribu nyawa di negara yang antara termiskin di dunia itu, yang turut berdepan krisis kemanusiaan berskala besar.- AFP











