PETALING JAYA: Peluang pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) masih terbuka meskipun terlepas Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Shanghai, China, baru-baru ini akibat kekurangan mata kelayakan.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, kegagalan Shah beraksi pada kejohanan itu tidak menutup peluangnya untuk memburu slot individu ke temasya Olimpik, bagaimanapun pelumba berkenaan perlu bekerja lebih keras bagi mengejar mata yang diperlukan.
Menurutnya, kutipan mata menerusi acara pecut berpasukan tidak dikira dalam perebutan kuota individu, sekali gus memberi ruang kepada Shah untuk terus bersaing menerusi laluan kelayakan yang tersedia.
“Peluang untuk kuota individu ke Olimpik masih terbuka kerana mata yang dikumpulkan menerusi acara pecut berpasukan tidak dikira untuk kelayakan individu, jadi peluang Shah masih ada,” kata Harnizam.
Bagaimanapun, Harnizam mengakui Shah perlu memulakan kempen kelayakan dengan lebih mencabar selepas terlepas Kejohanan Dunia di Shanghai, yang menjadi antara medan penting untuk mengumpul mata ke arah LA28.
Shah sebelum ini gagal layak ke kejohanan dunia selepas tidak mengumpul mata mencukupi dalam siri Piala Dunia Berbasikal Trek UCI 2026, selain masih berusaha mendapatkan semula prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan lutut kanan pada penghujung tahun lalu.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu turut berdepan cabaran dalam beberapa kejohanan utama tahun ini apabila terkandas di separuh akhir acara keirin Sukan Komanwel Glasgow sebelum menamatkan saingan di tempat kelima acara sama pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Dalam acara pecut individu di Sukan Asia pula, cabaran Shah berakhir pada pusingan repechage kedua, sekali gus menggambarkan tugas berat yang perlu dihadapinya untuk kembali ke tahap terbaik menjelang kempen kelayakan Olimpik.
Sementara itu, skuad berbasikal trek negara kecuali Datuk Azizulhasni Awang akan meneruskan saingan menerusi kejohanan Kelas 2 di Tagaytay, Filipina, pada 4 hingga 6 Disember ini. – UTUSAN











