Pulau Pinang pinda Undang-undang TIP, kurangkan kadar fi mulai 2027 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang pinda Undang-undang TIP, kurangkan kadar fi mulai 2027

H'NG Mooi Lye (kanan) ketika sidang akhbar mengenai penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (TIP) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2026 di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri dijangka menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Tempat Inap Persendirian (TIP) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2026 bermula 1 Januari 2027 dengan beberapa pindaan baharu dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, antara pindaan itu termasuk mengurangkan kadar fi lesen dan fi TIP bagi mengurangkan beban pengusaha inap persendirian yang terlibat.

Katanya, fi lesen ditetapkan pada kadar RM500 setahun bagi setiap unit TIP berbanding kadar asal RM1,000 setahun bagi unit yang mempunyai sehingga tiga bilik dengan tambahan RM200 bagi setiap bilik seterusnya manakala fi TIP pula ditetapkan mengikut bilangan bilik bermula pada kadar RM400 bagi sebuah bilik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan Pulau Pinang telah meneliti secara menyeluruh mengenai perkara yang dibangkitkan ini dan memutuskan untuk meminda beberapa peruntukan dengan mengambil kira keperluan serta realiti pengoperasian di lapangan.

“Pindaan ini dibuat bagi memastikan kepentingan semua pihak terus terpelihara khususnya kesejahteraan penduduk setempat di samping mengekalkan keberkesanan pelaksanaan dan pencapaian objektif UK TIP 2026,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, pindaan lain yang dibuat ialah, had bilangan bilik bagi setiap premis TIP akan dinaikkan kepada maksimum 10 bilik berbanding hanya lima bilik sebelum ini tertakluk kepada syarat serta kawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, pindaan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan sebenar di lapangan termasuk premis banglo yang mempunyai tujuh bilik tetapi sebelum ini berdepan kekangan untuk mendapatkan lesen kerana had bilangan bilik yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama, pindaan turut memperjelaskan mengenai perbezaan antara premis TIP dengan hotel bagi mengelakkan pengusaha hotel menukar kategori atau menjenamakan semula premis sebagai TIP semata-mata untuk mengelakkan syarat pelesenan hotel,” katanya.

Tambah Mooi Lye, kerajaan negeri turut memberi tempoh selama tiga tahun kepada pengusaha Airbnb di kawasan kediaman bertanah di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengemukakan permohonan kebenaran merancang bagi pertukaran kegunaan daripada kediaman kepada komersial.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini