NCER rekod RM36.62b pelaburan direalisasikan di Pulau Pinang

NCER rekod RM36.62b pelaburan direalisasikan di Pulau Pinang

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Pulau Pinang, hari ini.-GAMBAR/NCER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM36.62 bilion serta 19,033 peluang pekerjaan di Pulau Pinang sehingga 30 September lalu.

Jumlah tersebut melepasi sasaran tahunan yang ditetapkan untuk 2026 iaitu sebanyak RM22 bilion pelaburan dengan 9,000 peluang pekerjaan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pencapaian berkenaan antara perkara yang dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Pulau Pinang, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, prestasi itu juga menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekuatan ekosistem perindustrian di negeri ini khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, teknologi maju serta aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi negeri.

“Selain memperkukuh persekitaran pelaburan, mesyuarat turut meneliti kemajuan beberapa projek strategik yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang sejajar dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 dan RMK13.

“Justeru, berdasarkan prestasi semasa, kami kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan direalisasi kumulatif sebanyak RM278.6 bilion menjelang 2030 di bawah Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Antara projek yang diberikan perhatian ialah NCER Technology Innovation Centre (NTIC) yang bakal berfungsi sebagai platform kolaborasi antara industri, institusi penyelidikan dan pemain teknologi bagi mempercepatkan aktiviti inovasi, penyelidikan
serta pembangunan teknologi baharu.

Perkembangan NTIC akan dipacu oleh Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) yang menerajui usaha membangunkan keupayaan pembungkusan semikonduktor termaju bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor negara.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata, mesyuarat juga membentangkan mengenai kemajuan projek Penang Durian Valley @ Relau
yang kini mencapai 48 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap pada suku pertama 2027.

Pada masa yang sama katanya, NCER juga sedang giat menerajui Program Dapur Sentral di dua daerah iaitu Timur Laut dan Barat Daya sebelum diperluas ke Seberang Perai dengan tumpuan diberi kepada pembangunan usahawan tempatan dalam meneroka industri serta rantaian nilai produk makanan halal tempatan dan antarabangsa.

“NCER akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan pelaksanaan projek dan program pembangunan dapat dilakukan secara berkesan serta memberi impak yang berkekalan.

“Fokus NCER adalah untuk memastikan bahawa pelaburan yang direalisasikan diterjemah kepada peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat tempatan, pengukuhan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan untuk manfaat rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini