Rona walnut, krim hidupkan konsep minimalis moden

Rona walnut, krim hidupkan konsep minimalis moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Konsep minimalis moden yang menggabungkan warna walnut dan krim menjadi pilihan Jannatul Ajilah Hamdan, 32, dalam menghias kediamannya bagi mewujudkan suasana tenang, kemas dan selesa untuk seisi keluarga.

Pemilihan konsep itu bukan sahaja menitikberatkan keindahan ruang, malah mengambil kira aspek fungsi dan keselamatan bagi memastikan kediaman sesuai untuk keluarga yang mempunyai anak kecil.

Menurut Jannatul Ajilah, inspirasi dekorasi rumahnya banyak diperoleh menerusi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Pinterest sebagai panduan memilih perabot, cat serta hiasan yang bersesuaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gabungan warna dan material

Gabungan rona walnut yang menyerlahkan tekstur kayu dengan warna krim menjadi elemen utama dalam dekorasi kediaman itu.

Penggunaan warna berkenaan memberikan keseimbangan antara unsur semula jadi dan gaya moden, sekali gus menghasilkan penampilan yang ringkas tanpa terlalu banyak corak.

Material kayu bertekstur serta permukaan polos turut dipilih bagi mengekalkan identiti minimalis, manakala perabot berciri melengkung menambahkan sentuhan moden pada ruang kediaman.

Menurutnya, ruang tamu menjadi kawasan yang paling diberi perhatian kerana berfungsi sebagai tempat keluarga berehat selain ruang utama menerima kunjungan tetamu.

Kabinet televisyen berciri melengkung menjadi titik tumpuan ruang berkenaan, di samping sofa moden yang melengkapkan penampilan keseluruhan.

Bagi mewujudkan suasana lebih nyaman, lampu jenis eyeball digunakan untuk menghasilkan pencahayaan yang memberikan kesan tenang seperti suasana hotel.

Pemilihan perabot turut mengambil kira aspek keselamatan anak kecil, termasuk meja makan berbentuk melengkung bagi mengurangkan risiko kecederaan akibat terhantuk pada bucu tajam.

Bagi mengelakkan kediaman kelihatan sarat, Jannatul Ajilah mengehadkan penggunaan hiasan kepada elemen yang mampu menyerlahkan karakter sesuatu ruang.

“Kami mengamalkan konsep ‘less is more’, iaitu tidak meletakkan terlalu banyak hiasan. Cukup satu atau dua dekorasi yang memberikan karakter kepada ruang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Antara elemen yang digunakan ialah bingkai seni Islam bersaiz besar dan tumbuhan hiasan berhampiran tangga, manakala sebuah pasu menjadi pelengkap kepada kabinet televisyen.

Susun atur ruang tamu turut dikekalkan lapang tanpa meja kopi atau sofa tambahan di bahagian tepi bagi membolehkan anak mereka bermain dengan lebih bebas.

Dapur kemas dan praktikal

Konsep minimalis turut diterapkan di ruang dapur keluarga ini menerusi penggunaan kabinet penuh sehingga ke siling bagi memaksimumkan ruang penyimpanan.

Reka bentuk itu membolehkan barangan dapur disimpan di dalam kabinet supaya permukaan meja kerja kelihatan lebih kemas dan tidak berselerak.

Pemilihan warna krim pada kabinet membantu mewujudkan ilusi ruang yang lebih luas, selain memberikan suasana cerah dan tenang.

Material kayu nyatuh pula dipilih untuk kabinet dapur kerana ketahanannya bagi kegunaan jangka panjang, terutama dalam persekitaran yang terdedah kepada air.

Perancangan kewangan jadi keutamaan

Keseluruhan kos renovasi dan dekorasi kediaman itu dianggarkan berjumlah RM70,000, menjadikan perancangan kewangan antara perkara penting sepanjang proses menghias rumah.

Jannatul Ajilah berkata, mereka mula menabung lebih awal bagi menyediakan peruntukan bukan sahaja untuk pembelian rumah, malah merangkumi kos renovasi dan dekorasi.

“Cabaran terbesar semestinya dari aspek kewangan. Kami mula menabung awal bagi memastikan peruntukan bukan sahaja untuk pembelian rumah, tetapi termasuk kos renovasi dan dekorasi,” katanya.

Bagi memastikan setiap pembelian berbaloi, mereka membuat carian secara dalam talian serta membandingkan harga dan kualiti produk daripada kontraktor dan kedai berbeza sebelum membuat keputusan.

Dia turut menyarankan pemilik rumah supaya menetapkan konsep dekorasi terlebih dahulu sebelum memilih perabot dan aksesori agar perbelanjaan lebih mudah dirancang.

“Pemilik rumah juga disaran memilih hiasan mengikut kemampuan kewangan masing-masing dan mengelakkan hutang semata-mata untuk mendapatkan kediaman yang menarik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini