KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) mengintai peluang menambah satu atau dua lagi kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan bagi mendapatkan tambahan kerusi itu masih boleh dilakukan dan keputusan muktamad dijangka diketahui dalam tempoh sehari dua ini.
Katanya, perkara itu akan diputuskan oleh kepemimpinan tertinggi parti menerusi Jawatankuasa Perundingan Kerusi manakala PN akan menggunakan logo gabungan berkenaan pada PRN Melaka.
“Mungkin keputusan itu pada hari ini atau esok oleh pimpinan tertinggi parti dan Jawatankuasa Perundingan Kerusi. Kita juga akan menggunakan logo PN bagi PRN nanti.
“Di Melaka ini, kita baru di peringkat Jawatankuasa Induk dan akan memuktamadkannya dalam masa sehari dua ini, walaupun tujuh kerusi sudah disebut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya selepas Kuliah Perdana Sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (BMI) di Dataran Warisan Sultan Muhammad IV di sini, hari ini.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menafikan kenyataan bahawa parti berkenaan akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepentas bersama BN.
Katanya, pengumuman itu akan dibuat pada 28 atau 29 Oktober ini.
“Setakat ini tidak. Kita akan umum pada minggu-minggu akhir, sama ada 28 atau 29 hari bulan,” ujarnya. – UTUSAN











