Malaysia, Johor berpotensi terima kemasukan pelaburan baharu - Utusan Malaysia

Malaysia, Johor berpotensi terima kemasukan pelaburan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Malaysia dan Johor berpotensi menarik kemasukan pelaburan baharu susulan ketidaktentuan pasaran saham Indonesia, baru-baru ini, selepas Morgan Stanley Capital International (MSCI) mencadangkan penurunan taraf pasaran negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, perkara itu dibantu imej negara yang dilihat sebagai sebuah pasaran antarabangsa neutral.

Katanya, pasaran saham tempatan kekal berdaya saing meskipun terdapat kemungkinan berlaku penurunan taraf melibatkan negara jiran terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara umumnya, penurunan taraf MSCI di Indonesia tidak dijangka memberi impak negatif yang ketara terhadap pasaran di Johor mahupun Malaysia. Ini kerana MSCI memberi fokus kepada pasaran modal komponen indeks antarabangsa.

“Apabila dana asing dikeluarkan dari sesebuah pasaran akibat penurunan taraf, dana tersebut lazimnya akan mencari pasaran alternatif yang stabil. Malaysia, khususnya Johor, mempunyai kedudukan yang neutral serta seimbang antara timur dan barat.

“Ini menjadikannya satu destinasi yang berpotensi menarik pelaburan strategik serta pembangunan projek fizikal dan infrastruktur jangka panjang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Penyempurnaan Projek Pusat Data Falcon di Forest City Marina Hotel, di sini malam tadi.

Baru-baru ini, MSCI menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbang untuk menukar status Indonesia daripada kategori ‘pasaran sedang pesat membangun’ kepada status ‘pasaran berdiri sendiri.’

Indeks penanda aras saham Jakarta (JKSE) jatuh lebih daripada lima peratus pada sesi dagangan awal, merosot ke paras terendah dalam tempoh enam tahun, susulan kejatuhan mendadak sebanyak 11.6 peratus pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, nilai mata wang rupiah turut susut susulan amaran daripada MSCI mengenai kemungkinan penyingkiran Indonesia daripada indeks globalnya pada tahun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini