CIMB Group kaji nyah senarai CIMB Niaga di Indonesia

CIMB Group kaji nyah senarai CIMB Niaga di Indonesia

CIMB Group merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia Indonesia bagi meneliti langkah nyah senarai tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) menilai kemungkinan untuk nyah senaraikan anak syarikatnya di Indonesia, CIMB Niaga, susulan cabaran untuk memenuhi keperluan saham awam minimum di negara itu, khusus sekiranya MSCI menurunkan status Bursa Saham Indonesia (IDX) daripada pasaran membangun.

BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, CIMB Niaga yang dimiliki sebanyak 92.46 peratus oleh CIMB Group itu sebelum ini merancang meningkatkan pegangan saham awam daripada 7.54 peratus kepada 12.5 peratus menjelang Mac 2027, sebelum meningkatkannya lagi kepada 15 peratus menjelang Mac 2028.

Bagaimanapun, firma pemborkeran berkata, kemungkinan MSCI mengklasifikasikan semula pasaran ekuiti Indonesia daripada status pasaran membangun kepada pasaran kendiri boleh menyukarkan pencapaian sasaran pegangan saham awam itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, pihak pengurusan memaklumkan bahawa pihaknya mungkin mengadakan perbincangan dengan pengawal selia Indonesia bagi menilai kebolehlaksanaan untuk menjadikan CIMB Niaga sebagai syarikat persendirian.

“Walaupun berdepan perkembangan itu, kumpulan berkenaan kekal positif terhadap prospek jangka panjang perniagaannya di Indonesia, khususnya dalam segmen pengurusan kekayaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perbankan korporat, hubungan serantau ASEAN dan perbankan syariah,” katanya dalam nota penyelidikan.

BIMB Securities berkata, pihak pengurusan kumpulan itu kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang di Indonesia, walaupun berdepan ketidaktentuan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kumpulan itu masih berada di landasan untuk mencapai sasaran pulangan atas ekuiti (ROE) bagi tahun kewangan 2026  sebanyak 11.0 hingga 11.5 peratus, disokong pertumbuhan pinjaman yang sihat, pendapatan lebih kukuh dari Singapura dan prestasi lebih baik di Thailand.

“Walaupun tekanan terhadap margin faedah bersih (NIM) berterusan di pasaran utama, pelarasan semula harga pinjaman secara proaktif dan pengurusan deposit yang berdisiplin dijangka membantu mengurangkan tekanan terhadap margin di Indonesia. 

“Berikutan andaian NIM yang lebih rendah, unjuran pendapatan kami bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 dikurangkan sebanyak 2.0 hingga 4.4 peratus,” ujarnya.

Semenara itu, CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) berkata, kumpulan perbankan itu turut merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia Indonesia bagi meneliti langkah berkenaan.

Bank pelaburan berkata, pertimbangan berkenaan didorong oleh pandangan CIMB Group bahawa saham CIMB Niaga masih dinilai rendah berbanding potensi sebenar perniagaannya, selain prospek pertumbuhan jangka panjang Indonesia yang kekal positif.

Katanya, keyakinan itu turut disokong kekuatan CIMB Niaga dalam pengurusan kekayaan, perbankan korporat, rangkaian perbankan serantau ASEAN, perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan sederhana tinggi serta perbankan syariah.

“Tiga pilihan utama sedang diteliti bagi menangani keperluan minimum pegangan saham awam CIMB Niaga, termasuk penempatan saham kepada pelabur strategik pada penilaian yang boleh diterima, penyenaraian semula menerusi tawaran awam permulaan (IPO) dan penswastaan.

“Bagaimanapun, penyenaraian semula dianggap kurang berkemungkinan berdasarkan keadaan pasaran Indonesia ketika ini, manakala penswastaan dilihat sebagai pilihan yang lebih strategik dan berdaya maju untuk jangka panjang.

“CIMB menyatakan terdapat pelbagai pilihan penyahsenaraian, termasuk aturan yang membolehkan pemegang saham minoriti mengekalkan pegangan selepas penyahsenaraian, dengan merujuk kepada aturan pemilikan minoriti terdahulu di CIMB Thai dan CIMB Bank Malaysia sebagai contoh,” jelasnya.

Tambahnya, usaha memastikan pembayaran dividen daripada CIMB Niaga kepada kumpulan terus dikekalkan juga menjadi pertimbangan penting sebelum sebarang keputusan strategik dimuktamadkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini