NATO hantar pesawat peronda, pegawai perisik ke Laut Hitam

NATO hantar pesawat peronda, pegawai perisik ke Laut Hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengerahkan pesawat peronda tambahan dan pegawai risikan ke Laut Hitam, menurut jurucakap perikatan itu.

Langkah itu diambil berikutan siri serangan dron maut di rantau tersebut yang dikaitkan dengan Russia, meskipun dakwaan berkenaan dinafikan oleh Kremlin.

“Negara sekutu telah atau bakal menghantar pesawat peronda maritim tambahan, sistem radar, pasukan pakar letupan, pegawai risikan, dron dan pelbagai aset lain ke Laut Hitam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, perkara paling penting yang boleh kami lakukan ialah meningkatkan kesedaran situasi di rantau ini menerusi pertambahan sensor dan perkongsian data,” kata jurucakap NATO, Kolonel Martin O’Donnell pada Selasa.

Setakat ini, NATO bersama Bulgaria dan Romania belum menuduh secara terus mana-mana negara sebagai dalang di sebalik siri serangan terbaharu itu.

Penganalisis ketenteraan mendakwa Russia hampir pasti bertanggungjawab mendalangi serangan berkenaan, namun Moscow menafikan sebarang kaitan.

Dalam insiden serangan pada 5 Oktober lalu, Romania melaporkan dua individu maut selepas kapal mereka terbakar dan karam di perairan Laut Hitam.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menuduh Moscow sebagai pihak yang bertanggungjawab atas insiden tersebut.

Pengumuman pengerahan aset itu dibuat selepas badan pembuat keputusan utama NATO, Majlis Atlantik Utara mengadakan perbincangan berhubung tahap keselamatan di Laut Hitam di ibu pejabat perikatan berkenaan di Brussels.

“NATO telah pun memperkukuh kedudukan kami di sepanjang sempadan timur termasuk menyediakan keupayaan menangkis serangan dron,” kata jurucakap Allison Hart menerusi satu hantaran di platform X.

Dalam pada itu, Ketua Diplomat Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas pada Selasa menegaskan enam serangan dalam tempoh 10 hari oleh dron yang disyaki milik Russia menandakan peningkatan ancaman yang berbahaya dan tidak boleh diterima.

Beliau menambah, Kremlin berkemungkinan cuba menyekat sumber pendapatan Kyiv daripada eksport bijirin.

Kallas turut memberi amaran serangan terbaharu itu mengeruhkan lagi krisis bekalan makanan global yang sudah pun berdepan tekanan akibat bencana kemarau di pelbagai wilayah serta konflik yang berlarutan di Asia Barat. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini