ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghadiahkan sepucuk pistol kepada setiap pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara NATO di Ankara, kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer pada Rabu.
Starmer, ketika bercakap kepada wartawan Britain dalam penerbangan pulang berkata, setiap pistol itu diukir dengan nama pemimpin yang menerimanya dan turut disertakan sekotak peluru.
Kenyataan Starmer itu dilaporkan oleh Press Association.
Perdana Menteri itu berkata, beliau terpaksa meninggalkan hadiah tersebut di Turkiye kerana membawanya masuk ke Britain adalah menyalahi undang-undang walaupun Erdogan mengeluarkan surat yang mengecualikan senjata itu daripada kawalan eksport.
Sidang kemuncak 32 negara itu merupakan acara antarabangsa utama terakhir yang dihadiri Starmer selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan pada 22 Jun.
Beliau akan terus memegang jawatan sehingga seorang perdana menteri baharu dipilih dalam parti Buruh yang memerintah, dengan bekas Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham dilihat sebagai calon paling berkemungkinan untuk menggantikannya.
Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney tidak akan menyimpan sepucuk pistol berukir yang diberikan kepadanya oleh Erdogan setelahmenghadiahkan senjata sama kepada semua pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak NATO, kata kerajaan.
Menurut kerajaan, pistol tersebut sedang dipindahkan kepada polis diraja Kanada untuk dilucutkan dan dinyahaktifkan, manakala peluru yang disertakan bersama hadiah itu kekal barada di Turkiye.
Kerajaan Kanada tidak memberikan butiran segera mengenai senjata tersebut, seperti model pistol yang terlibat.
Namun, import senjata api ke Kanada dikawal dengan ketat dan secara amnya adalah menyalahi undang-undang untuk membawa masuk pistol baharu ke negara itu dengan hanya beberapa pengecualian terhad. – AFP/AGENSI










