RABAT Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang semasa penugasan latihan di selatan Maghribi terakhir kali dilihat berhampiran tebing laut, kata seorang pegawai pertahanan AS kepada AFP.
Pegawai itu berkata, mereka dipercayai mungkin terjatuh ke laut.
Operasi pencarian besar-besaran melibatkan darat, udara dan laut telah dilancarkan oleh tentera AS, Maghribi serta pasukan sekutu di kawasan latihan Cap Draa.
Ia dilakukan selepas kedua-dua anggota itu dilaporkan hilang lewat Sabtu, menurut kenyataan kedua-dua pihak tentera.
Pencarian masih diteruskan sehingga sekitar pukul 2000 GMT pada Ahad atau 4 pagi Isnin waktu Malaysia, kata pegawai AS tersebut kepada AFP.
“Saya boleh mengesahkan insiden ini tidak berkaitan dengan keganasan tetapi nampaknya satu kemalangan,” kata pegawai itu.
“Laporan awal menunjukkan kedua-dua anggota tentera mungkin terjatuh ke dalam laut,” tambahnya.
Menurut laporan akhbar Wall Street Journal, pihak berkuasa percaya kedua-dua askar tersebut keluar mendaki selepas latihan tamat, namun AFP belum dapat mengesahkan perkara itu.
Laman CBS News melaporkan bahawa salah seorang wartawannya mendengar helikopter beroperasi sepanjang malam sehingga Ahad selepas kiraan semula di seluruh pangkalan gagal mengesan kedua-dua anggota tersebut.
Angkatan tentera Maghribi mengesahkan penglibatan mereka dalam operasi pencarian melalui hantaran di Facebook.
Pegawai pertahanan AS berkata, beberapa helikopter, kapal, dron, pasukan pendaki gunung dan penyelam terlibat dalam usaha pencarian itu.
Pasukan tersebut sedang menyertai latihan ketenteraan tahunan bersama yang dikenali sebagai African Lion, yang menghimpunkan tentera AS, negara sekutu Afrika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk latihan di Afrika Utara dan Barat.
Tentera AS menyifatkan latihan itu sebagai latihan bersama tahunan terbesar dan utama AFRICOM yang melibatkan lebih 10,000 peserta dari lebih 20 negara, termasuk kontinjen NATO.
Ia dianjurkan oleh Maghribi, Ghana, Senegal dan Tunisia. – AFP











