Mendidik remaja mengenal erti cinta

Mendidik remaja mengenal erti cinta

CINTA remaja perlu dibimbing dengan nilai agama, kawalan emosi dan kesedaran digital agar hubungan kekal sihat dan bertanggungjawab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA cinta zaman sekolah bukanlah perkara baharu. Dahulu, mungkin bermula dengan surat kecil yang diselitkan di dalam buku, pandangan malu-malu di kantin atau sekadar menunggu di pagar sekolah.

Hari ini, wajahnya berubah. Hubungan boleh bermula melalui WhatsApp, TikTok, Instagram, permainan dalam talian atau aplikasi sosial lain.

Interaksi yang dahulunya terbatas kepada waktu persekolahan kini boleh berlanjutan 24 jam sehari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lalu timbul persoalan, adakah cinta zaman sekolah sekadar suatu trend, naluri semula jadi manusia atau sebenarnya natijah daripada perubahan sosial yang berlaku di sekeliling remaja?

Jawapannya mungkin merangkumi ketiga-tiganya.

Dari sudut perkembangan psikologi, perasaan tertarik kepada individu lain ketika memasuki alam remaja ialah sebahagian daripada proses normal pembentukan emosi dan identiti.

Remaja mula mengenali dirinya, mencari penerimaan dan membina hubungan di luar lingkungan keluarga. Perubahan hormon, perkembangan emosi serta keinginan untuk dihargai menjadikan rasa suka, kagum dan kasih terhadap orang lain sesuatu yang tidak luar biasa.

Justeru, tidak tepat jika setiap perasaan cinta dalam kalangan remaja terus dianggap sebagai masalah disiplin atau keruntuhan moral.

Yang menjadi persoalan bukan semata-mata kewujudan perasaan tersebut tetapi bagaimana perasaan itu diuruskan.

Remaja belum semestinya mempunyai kematangan emosi, pengalaman hidup dan keupayaan membuat pertimbangan seperti orang dewasa. Hubungan yang pada awalnya kelihatan ringan boleh bertukar menjadi pergantungan emosi, kecemburuan melampau, konflik, tekanan perasaan malah dalam keadaan tertentu boleh membawa kepada tingkah laku berisiko.

Lebih membimbangkan apabila konsep ‘cinta’ yang difahami banyak dibentuk oleh kandungan media sosial.

Drama, video pendek dan kandungan pempengaruh kadangkala menggambarkan cinta mesti dibuktikan melalui kesetiaan mutlak, akses kepada telefon pasangan, berkongsi kata laluan, menghantar gambar peribadi atau sentiasa mengetahui lokasi seseorang.

Perbuatan seperti ini tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai lambang kasih sayang.Sebaliknya, boleh menjadi permulaan kepada hubungan yang bersifat mengawal, manipulatif dan tidak sihat. Di sinilah kita perlu membezakan antara naluri dan tindakan.

Perasaan mungkin hadir secara semula jadi tetapi tindakan tetap perlu dipandu nilai, pendidikan, disiplin dan pertimbangan terhadap akibat.

Malah, dalam sesetengah keadaan, hubungan yang dianggap ‘sekadar cinta remaja’ boleh mempunyai implikasi undang-undang yang serius.

Apabila melibatkan kanak-kanak dan remaja bawah umur, isu seperti pujukan seksual, eksploitasi, penghantaran atau penyimpanan imej intim, ugutan untuk menyebarkan gambar peribadi, gangguan berterusan atau pemaksaan tidak lagi boleh dianggap sebagai hal peribadi antara dua individu.
Undang-undang diwujudkan kerana kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang perlu diberi perlindungan khas.

Di Malaysia, kerangka seperti Akta Kanak-Kanak 2001, undang-undang berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak serta peruntukan mengenai komunikasi dan kandungan dalam talian memberi mesej yang jelas perlindungan maruah, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama.

RISIKO TANPA SEDAR

Mereka perlu tahu gambar atau video intim yang dihantar secara ‘sukarela’ ketika hubungan sedang baik boleh berubah menjadi senjata apabila hubungan berakhir.

Tindakan mengugut untuk menyebarkan kandungan tersebut, memalukan pasangan di media sosial atau terus mengganggu selepas diminta berhenti bukan sekadar salah dari sudut moral, bahkan dalam keadaan tertentu boleh membawa implikasi undang-undang.

Cabaran terbesar hari ini ialah remaja mempunyai akses kepada dunia orang dewasa pada usia yang jauh lebih muda. Telefon pintar membuka ruang kepada komunikasi tanpa sempadan.

Maka, isu cinta zaman sekolah tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai persoalan ‘budak bercinta’ tetapi berkait rapat dengan keselamatan digital, kesihatan emosi, maruah, privasi, pendidikan seksual, risiko eksploitasi dan juga kesedaran undang-undang.

Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab?

Jawapan paling mudah ialah ibu bapa tetapi meletakkan keseluruhan tanggungjawab kepada keluarga juga tidak adil. Ibu bapa memang merupakan benteng pertama. Namun pendekatannya tidak boleh semata-mata berbentuk larangan.

Arahan seperti “jangan bercinta”, “jangan berkawan dengan dia” atau “serahkan telefon” mungkin berkesan untuk sementara waktu tetapi belum tentu mendidik anak membuat keputusan apabila mereka berada di luar pengawasan.

Lebih penting ialah membina hubungan yang membolehkan anak berbicara tanpa takut dihukum sebelum sempat didengar. Apabila seorang remaja mampu berkata kepada ibu bapanya, “Saya suka seseorang,” tanpa terus dimarahi atau dipersenda, sebenarnya ruang pendidikan telah terbuka.

Daripada ruang itulah ibu bapa boleh menerangkan tentang batas pergaulan, maruah diri, hubungan sihat, tanggungjawab agama, risiko seksual, keselamatan dalam talian dan akibat undang-undang terhadap perbuatan tertentu.

LENSA DISIPLIN DI SEKOLAH

Guru dan kaunselor berperanan membantu remaja memahami pengurusan emosi, konsep persetujuan, penghormatan terhadap batas individu, bahaya buli dalam hubungan, gangguan siber dan cara menghadapi penolakan.

Kita sering mengajar anak muda bagaimana berjaya dalam peperiksaan tetapi tidak cukup mengajar mereka menghadapi patah hati, penolakan, rasa cemburu atau hubungan toksik.

Sedangkan kemahiran mengurus emosi merupakan sebahagian penting daripada pendidikan kehidupan. Masyarakat juga mempunyai tanggungjawab.

Kita tidak boleh pada satu masa membanjiri remaja dengan kandungan romantik tanpa sempadan tetapi pada masa sama mengecam mereka apabila meniru apa yang dilihat.

Industri hiburan, pembuat kandungan dan platform digital perlu lebih bertanggungjawab dalam menggambarkan hubungan yang sihat dan menghormati maruah manusia. Dalam masa sama, unsur agama dan nilai moral mesti terus menjadi asas pendidikan.

Agama tidak menafikan fitrah manusia untuk menyayangi dan disayangi, sebaliknya, mengajar supaya perasaan diuruskan dengan adab, batas dan tanggungjawab.

Remaja perlu memahami tidak semua perkara yang dirasakan mesti diterjemahkan kepada tindakan.

Kemampuan mengawal diri bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kematangan. Pengajaran terbesar daripada fenomena cinta zaman sekolah ialah masyarakat tidak boleh sekadar menghukum hasil tanpa memahami proses yang melahirkannya.

Jika seorang remaja terjebak dalam hubungan tidak sihat, kita perlu bertanya, “adakah dia pernah diajar mengenali tanda-tanda hubungan toksik?”

Jika seorang anak menyembunyikan hubungannya, kita perlu bertanya, “adakah rumahnya menyediakan ruang selamat untuk bercakap?

Jika berlaku penyalahgunaan gambar peribadi, gangguan atau ugutan selepas perpisahan, kita perlu bertanya, “adakah pendidikan tentang privasi, keselamatan digital dan implikasi undang-undang telah diberikan secukupnya?”

Mendidik remaja bukan bermaksud menghapuskan semua risiko daripada kehidupan mereka. Itu agak mustahil.

Isu sebenar bukanlah sekadar mengapa anak-anak sekolah sudah mula mengenal cinta. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada kita, sebagai ibu bapa, pendidik, masyarakat dan pembuat dasar, telah cukup bersedia membimbing mereka memahami erti sebuah hubungan dengan matang, beradab dan bertanggungjawab. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Ketua Pejabat Perundangan dan Pematuhan Governan, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini