Jangan biar AI pesongkan sejarah

Jangan biar AI pesongkan sejarah

KANDUNGAN mengenai sejarah Malaysia yang dihasilkan tanpa menyatakan sumber rujukan perlu disemak terlebih dahulu kerana AI bukan rekod arkib dan tidak pernah menjadi saksi kepada sesuatu peristiwa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN menonton video Hang Tuah berjalan di sekitar Melaka, mendengar tokoh kemerdekaan berbicara atau menyaksikan suasana Tanah Melayu ratusan tahun lalu dalam paparan yang kelihatan seperti rakaman sebenar.

Semua itu kini boleh dihasilkan dalam masa singkat menerusi kecerdasan buatan (AI) sehingga peristiwa yang selama ini hanya diketahui melalui buku, gambar lama dan catatan sejarah seakan-akan kembali hidup di depan mata.

Bagi generasi muda yang begitu dekat dengan TikTok, Instagram dan pelbagai platform digital, cara sebegini tentunya lebih menarik kerana sejarah dapat dilihat, didengar dan difahami melalui bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak salah menggunakan teknologi untuk menjadikan sejarah lebih menarik kerana kaedah penyampaian juga perlu berubah mengikut zaman jika mahu menarik minat generasi baharu mengenali perjalanan negara.

Masalahnya bermula apabila video yang kelihatan nyata itu ditonton tanpa mengetahui dari mana fakta diperoleh, bahagian mana yang benar-benar mempunyai rekod dan mana pula yang sekadar dihasilkan untuk melengkapkan penceritaan.

AI boleh mencipta wajah, suara, suasana dan dialog yang begitu meyakinkan tetapi kemampuan menghasilkan sesuatu yang nampak benar tidak bermaksud perkara tersebut pernah benar-benar berlaku.

Batas antara fakta dengan rekaan menjadi semakin sukar dilihat jika pencipta kandungan tidak menjelaskan bahawa sesetengah adegan hanyalah ilustrasi, imaginasi atau gambaran semula.

Lebih merisaukan, tidak semua penonton mempunyai pengetahuan mencukupi untuk mengenal pasti kesilapan atau percanggahan dalam kandungan sejarah yang muncul di skrin.

Menurut Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Norkhushaini Awang, visual janaan AI yang realistik tidak semestinya menggambarkan fakta tepat atau sahih walaupun mampu menyerupai tokoh, lokasi dan suasana sesuatu zaman.

Katanya, kandungan mengenai sejarah Malaysia yang dihasilkan tanpa menyatakan sumber rujukan perlu disemak terlebih dahulu kerana AI bukan rekod arkib dan tidak pernah menjadi saksi kepada sesuatu peristiwa.

“AI menghasilkan kandungan berdasarkan maklumat yang dipelajari dan dalam keadaan tertentu boleh mencipta fakta, dialog, petikan atau peristiwa yang tidak pernah direkodkan dalam sumber sejarah sahih.

“Risiko lebih besar berlaku apabila unsur rekaan dipersembahkan seolah-olah fakta sebenar melalui jalan cerita, visual dan dialog yang meyakinkan sehingga penonton tidak menyedari sebahagian kandungan itu sebenarnya hanya hasil janaan teknologi.

“Tanpa maklumat mengenai sumber atau asas yang digunakan, penonton juga sukar menentukan bahagian yang berpandukan rekod sejarah dan bahagian yang ditambah untuk tujuan penceritaan,” jelasnya.

Risiko kandungan AI yang tidak tepat dianggap sebagai fakta sejarah sebenar lebih tinggi dalam era media sosial kerana generasi muda banyak mendapatkan maklumat menerusi video pendek dan kandungan tular yang disampaikan dengan visual serta suara menyerupai rakaman asli.

Maklumat yang tidak tepat dan diulang berkali-kali pula berisiko membentuk kefahaman sejarah yang tersasar kerana sesuatu dakwaan boleh kelihatan benar selepas terlalu kerap dilihat, didengar dan dikongsi.

Justeru, orang ramai disaran merujuk dokumen rasmi, rekod arkib, akhbar lama, buku akademik dan bahan muzium selain menggunakan Arkib Negara Malaysia serta sistem Online Finding Aids untuk mengesahkan maklumat berkaitan sejarah negara.

Pandangan itu membawa kepada satu persoalan lebih besar tentang cara masyarakat hari ini menerima maklumat kerana sesuatu yang tular atau mempunyai jutaan tontonan tetap tidak boleh menggantikan bukti dan sumber yang boleh dipertanggungjawabkan.

Generasi muda perlu dibiasakan dengan sikap bertanya sebelum mempercayai sesuatu kandungan termasuk siapa yang menghasilkannya, sumber apa yang digunakan dan sama ada maklumat serupa boleh ditemukan dalam rekod lain.

Kesilapan tentang tarikh, lokasi, watak atau urutan kejadian mungkin kelihatan kecil dalam sebuah video berdurasi seminit tetapi butiran itulah yang menentukan sama ada sesuatu penceritaan masih berpegang kepada sejarah atau sudah berubah menjadi fiksyen.

Perkara menjadi lebih serius sekiranya dialog yang tidak pernah diucapkan atau kejadian yang tidak pernah berlaku ditambah semata-mata untuk menjadikan sesuatu video lebih dramatik dan mudah mendapat perhatian.

Dalam keadaan teknologi semakin canggih, pencipta kandungan juga tidak boleh melepaskan seluruh tanggungjawab kepada penonton kerana mereka perlu menjelaskan apabila sesuatu visual merupakan kandungan janaan AI, ilustrasi atau dramatik semula.

Label seperti itu mungkin kelihatan remeh, namun sekurang-kurangnya penonton tahu bahawa apa yang sedang dilihat bukan rakaman asal dan tidak seharusnya dijadikan bukti sejarah tanpa penelitian lanjut.

Pada masa sama, AI tidak sepatutnya dianggap musuh kepada pendidikan sejarah kerana teknologi itu boleh membantu menerangkan kronologi, lokasi dan suasana sesuatu zaman dengan cara yang lebih mudah difahami.

Persoalannya bukan sama ada AI patut digunakan atau tidak tetapi sejauh mana penggunaannya masih menghormati fakta tanpa mengubah sejarah menjadi cerita yang hanya sedap ditonton.

Ketepatan perlu menjadi keutamaan kerana sejarah bukan sekadar cerita tentang masa lalu tetapi rekod pengalaman masyarakat yang menjadi sebahagian daripada pembentukan negara.

Semakin sukar manusia membezakan antara rakaman sebenar dengan hasil janaan teknologi, semakin besar keperluan untuk menyemak setiap maklumat sebelum menerimanya sebagai kebenaran.

AI boleh membantu menghidupkan sejarah di skrin tetapi jangan sampai teknologi yang sepatutnya mendekatkan generasi muda kepada masa lalu akhirnya menyebabkan mereka mengenali sejarah yang tidak pernah berlaku. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini