Kedai bundle simpan 3,383 paket minyak masak subsidi diserbu

Kedai bundle simpan 3,383 paket minyak masak subsidi diserbu

MUHAMMAD Nizam Jamaludin (kiri) memeriksa minyak masak paket bersubsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Industri Ringan Kemuning di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Tindakan menyimpan 3,383 paket minyak masak bersubsidi di sebuah premis pakaian terpakai (bundle) terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kawasan Industri Ringan Kemuning, semalam.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan selepas risikan sejak minggu lalu susulan maklumat awam berhubung kegiatan disyaki menyeleweng barang kawalan itu.

Menurutnya, penguat kuasa KPDN terpaksa menunggu lebih empat jam sebelum pintu premis dibuka oleh dua lelaki berusia 18 dan 26 tahun yang mengaku sebagai adik-beradik serta anak kepada pemilik premis berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 3,383 paket minyak masak bersubsidi bernilai RM8,457.50 yang disimpan di dua lokasi berasingan di dalam premis itu,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu, semalam.

Muhammad Nizam berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual itu.

Katanya, kedua-duanya ditahan untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti tempoh kegiatan itu dijalankan, sumber bekalan minyak masak serta destinasi pengedaran.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Nizam turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya barangan bersubsidi, menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000 atau portal e-Aduan KPDN di http://eaduan.kpdn.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini