Lambat lantik jurulatih rugikan Harimau Malaya

Lambat lantik jurulatih rugikan Harimau Malaya

SKUAD Harimau Malaya yang menamatkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026 tempat ketiga akan mengadakan perlawanan persahabatan Tier 1 dengan China pada November ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelewatan melantik ketua jurulatih baharu Harimau Malaya dikhuatiri menjejaskan persiapan skuad kebangsaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yemen bulan depan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim, berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu menyegerakan keputusan berkenaan bagi memberi ruang mencukupi kepada pengendali baharu merancang persiapan dan membentuk pasukan yang kompetitif.

Menurutnya, tempoh persiapan yang singkat boleh menyukarkan jurulatih menerapkan pendekatan taktikal, membina keserasian antara pemain serta memastikan setiap anggota skuad memahami corak permainan yang mahu dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika pelantikan jurulatih terus dilengahkan, pihak yang paling rugi adalah Harimau Malaya sendiri.

“Kita memerlukan jurulatih yang mempunyai masa mencukupi untuk menilai pemain, merancang latihan dan membentuk keserasian dalam pasukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Katanya, pertemuan dengan China dan Yemen tidak boleh dianggap sekadar aksi persahabatan biasa, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk menguji kemampuan pemain serta menilai keberkesanan perancangan pasukan kebangsaan.

Tambah Zulakbal, persiapan lebih awal membolehkan jurulatih mengenal pasti kelemahan pasukan, menilai kesesuaian pemain mengikut sistem permainan dan merangka strategi berdasarkan kekuatan lawan.

“Jurulatih tidak boleh mengharapkan keajaiban jika masa yang diberikan terlalu singkat. Dia perlu mengenali pemain, memahami keupayaan mereka dan mempunyai ruang untuk melaksanakan idea permainan sebelum pasukan turun ke padang,” ujarnya.

Zulakbal turut mengingatkan bahawa kelewatan berkenaan boleh memberi kesan terhadap perancangan jangka panjang Malaysia, khususnya usaha memperbaiki kedudukan ranking dunia bagi menghadapi cabaran antarabangsa akan datang.

Jelasnya, ranking dunia bukan sekadar ukuran kedudukan sesebuah pasukan, malah boleh mempengaruhi penempatan dalam balang undian kejohanan tertentu, bergantung pada peraturan yang ditetapkan penganjur sekali gus meningkatkan peluang Malaysia memperoleh kedudukan lebih baik dalam undian kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2031.

“Malaysia tidak boleh membuang masa jika mahu memperbaiki kedudukan ranking dan meningkatkan peluang mendapat kedudukan lebih baik dalam balang undian kelayakan Piala Dunia 2030 serta Piala Asia 2031. Perancangan perlu dibuat lebih awal, bukan apabila perlawanan sudah semakin hampir,” katanya.

Tegas beliau, FAM perlu menyelesaikan isu pelantikan itu terlebih dahulu, sama ada mengekalkan Tan Cheng Hoe atau mendapatkan khidmat jurulatih baharu, termasuk dari Jepun seperti yang diperkatakan sebelum ini.

“Jadi, saya fikir perkara ini mustahak untuk FAM selesaikan terlebih dahulu. Sama ada berikan mandat kepada Tan Cheng Hoe atau mencari jurulatih baharu termasuk dari Jepun seperti tersebar sebelum ini. Perkara ini perlu diselesaikan dahulu.

“Keutamaan ketika ini ialah memastikan Harimau Malaya mempunyai hala tuju yang jelas menjelang aksi November, kerana setiap kelewatan dalam membuat keputusan boleh mengurangkan masa persiapan dan menyukarkan usaha membina pasukan yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini