Segera agih pampasan pesawah terkesan baja lewat

Segera agih pampasan pesawah terkesan baja lewat

DUA buah jentera melakukan kerja menuai padi yang sudah masak di kawasan sawah berlatar belakang Gunung Jerai di Kampung Titi Batu, Yan. Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Golongan pesa­wah yang terkesan dan a­lami kerugian akibat kelewatan bekalan baja baru-baru ini menuntut kerajaan menyegerakan bayaran pampasan kepada mereka selain menggesa mekanisme agihan bantuan dilaksanakan secara telus dan berdasarkan kerugian sebenar.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meneliti bantuan bersasar kepada golongan yang terjejas namun langkah itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan pesawah terus menanggung beban kewangan.

Katanya, kementerian terlibat boleh menggunakan data pe­sawah daripada Lembaga Ke­­majuan Pertanian Muda (MADA), Pertubuhan Peladang Ka­­wasan (PPK) dan rekod pe­nga­gihan baja bagi mengenal pasti pesawah yang terjejas tanpa membebankan mereka dengan proses tuntutan yang panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penilaian kerugian juga perlu mengambil kira keluasan sawah, jumlah baja yang sepatutnya diterima, tarikh penerimaan baja serta perbandingan hasil musim berkenaan dengan musim sebelumnya bagi memastikan bantuan diberikan berdasarkan keadaan sebenar.

“Paling penting bantuan ja­ngan sama rata kerana kerugian yang setiap petani tanggung berdasarkan keluasan tanaman masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau menegaskan, bantuan perlu diagihkan dengan segera memandangkan petani terlibat kini mempunyai masalah untuk memulakan tanaman ekoran hasil padi yang merosot akibat kelewatan bekalan baja itu.

“Isu ini bukan sekadar baja lewat tetapi paling penting petani yang menanggung kerugian. Kerajaan pun sudah me­ngakui kelewatan baja ini jadi persoalan sekarang mengukur kerugian ini.

“Terdapat pesawah yang dilaporkan hanya memperoleh sekitar 800 kilogram hingga satu tan metrik padi bagi setiap relung iaitu penurunan mendadak dan sekarang dengan kos yang tinggi hasil menjunam,” katanya.

Pengerusi Peladang Muda PPK MADA, Aswadil Khairi Che Omar pula berkata, kerajaan perlu memperbaiki sistem pengurusan tender, pengagihan dan pemantauan bekalan baja bagi memastikan kelewatan yang menjejaskan pesawah tidak berulang pada musim penanaman akan datang.

“Apabila baja sampai lewat, masa penanaman terganggu, pertumbuhan tanaman terjejas dan hasil tuaian menurun. Kerugian ditanggung pesawah kerana mereka bergantung pada hasil tanaman sebagai sumber pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini