KUALA TERENGGANU: Pas sudah menyenaraikan beberapa calon yang dipertimbang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun keputusan mengenai individu yang bakal dipilih belum dimuktamadkan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, senarai berkenaan melalui proses perbincangan sebelum dimuktamadkan oleh kepemimpinan parti itu mengikut ketetapan yang ditentukan.
Beliau berkata, pengumuman mengenai nama calon hanya dibuat apabila tiba masanya selepas segala perbincangan dan proses pemilihan selesai.
“Kita sudah mempunyai senarai calon. Perkara itu sedang dibincangkan dan kita tunggu masa untuk mengumumkan nama calon,” katanya selepas Persidangan Antarabangsa Terengganu yang bertemakan Sambutan Tiga Tahun Taufan Al-Aqsa di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama Pas dengan Barisan Nasional (BN) diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Abdul Hadi berkata, parti itu berusaha meneruskan hubungan kerjasama berkenaan.
Beliau berkata, sebarang langkah berkaitan kerjasama politik mengambil kira perkembangan semasa serta keputusan yang dicapai oleh kepemimpinan parti.
Berhubung penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) sebagai lambang bersama pada PRU16, Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkara berkenaan bergantung pada keputusan mahkamah.
Menurutnya, Pas masih mempunyai pilihan untuk menggunakan logo sendiri sekiranya penggunaan logo PN tidak dapat dilaksanakan.
Ditanya mengenai kemungkinan Pas bertanding di kerusi yang dikaitkan dengan isu pengosongan kerusi wakil rakyat, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan dan sebarang hanyi diketahui selepas perbincangan lanjut. – UTUSAN











