PETALING JAYA: Nama pengendali Jepun, Hajime Moriyasu mula dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti pilihan terbaik untuk menerajui skuad kebangsaan dalam misi memburu tiket ke Piala Dunia 2030.
Media Vietnam, Tien Phong mendakwa Moriyasu antara nama yang disebut sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan itu masih belum disusuli sebarang pengesahan mengenai rundingan rasmi, dengan Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan, badan induk tersebut belum mengambil langkah konkrit bagi menentukan pengendali baharu Harimau Malaya.
“Belum ada langkah konkrit di pihak FAM lagi. Kami akan membincangkan isu ini secara mendalam,” katanya kepada media.
Moriyasu, yang ketika ini membimbing skuad kebangsaan Jepun, dilihat sebagai antara nama berprofil tinggi yang dikaitkan dengan kemungkinan perubahan kepimpinan teknikal Harimau Malaya, namun kesesuaiannya masih belum dapat dipastikan.
FAM sebelum ini memberi bayangan bahawa khidmat jurulatih asing akan dipertimbangkan selepas pembentukan jawatankuasa eksekutif baharu, selaras dengan hasrat memperkukuh pasukan kebangsaan bagi menghadapi cabaran kelayakan Piala Dunia 2030.
Bagaimanapun, pilihan untuk mengekalkan jurulatih tempatan juga tidak ditolak, terutama jika calon sedia ada mampu membuktikan keupayaan menerusi keputusan dan prestasi pasukan.
Ghani turut menjelaskan bahawa pemilihan pengendali baharu bukan keputusan yang akan ditentukan oleh presiden secara bersendirian, sebaliknya perlu melalui perbincangan bersama jawatankuasa eksekutif sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Ketika ini, Harimau Malaya berada di bawah kendalian jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, yang membawa skuad negara menamatkan saingan di tempat ketiga Piala ASEAN FIFA, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, laporan Tien Phong turut membangkitkan kemungkinan Moriyasu mencari cabaran baharu di luar Jepun apabila kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) dijangka berakhir selepas Piala Asia di Arab Saudi, Januari depan. – UTUSAN











