AS denda Bank of America RM4 bilion langgar akta pengubahan wang haram

AS denda Bank of America RM4 bilion langgar akta pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan penalti lebih AS$1.2 bilion (RM4.89 bilion) ke atas Bank of America kerana melanggar undang-undang antipengubahan wang haram dan sekatan, menurut jabatan itu pada Selasa.

Menurut jabatan berkenaan, bank kedua terbesar di AS itu gagal melaporkan dengan sewajarnya transaksi mencurigakan bernilai lebih AS$5 bilion (RM20.4 bilion).

Sebahagian transaksi itu melibatkan risiko berkaitan keselamatan negara dan kebimbangan lain, termasuk urus niaga yang menunjukkan kemungkinan kaitan dengan rangkaian pengubahan wang haram China serta kegiatan pembiayaan haram di sekitar sempadan barat daya AS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jumlah keseluruhan penalti itu merangkumi AS$1.2 bilion (RM4.89 bilion) yang dikenakan oleh Rangkaian Penguatkuasaan Jenayah Kewangan (FinCEN) di bawah Jabatan Perbendaharaan AS.

Jumlah itu termasuk penalti sivil sebanyak AS$750 juta (RM3.06 bilion) yang dikenakan oleh pengawal selia utama sektor perbankan, Pejabat Pengawal Mata Wang (OCC).

“Berikutan pelanggaran Akta Kerahsiaan Bank yang serius dan berterusan oleh Bank of America, OCC mengenakan penalti sivil kewangan terbesar yang pernah dikenakan terhadap sebuah bank,” kata Pengawal Mata Wang, Jonathan Gould.

Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) di bawah Jabatan Perbendaharaan turut mengumumkan penyelesaian bernilai AS$11.6 juta (RM47.34 juta) dengan bank itu berhubung pelanggaran yang dipercayai berlaku terhadap beberapa program sekatan, termasuk berkaitan Iran, Russia, narkotik dan keganasan global.

“Tindakan hari ini menghantar mesej jelas bahawa institusi kewangan terbesar sekalipun tidak terkecuali daripada undang-undang.

“Apabila bank sebesar ini gagal memenuhi tanggungjawab antipengubahan wang haram dan pematuhan sekatan, kesannya melangkaui institusi itu sendiri, sekali gus mendedahkan keseluruhan sistem kewangan AS kepada risiko pembiayaan haram yang ketara,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu memberi tamparan kepada Bank of America sehari sebelum bank berkenaan mengumumkan keputusan kewangan suku ketiganya.

Jurucakap Bank of America memberitahu AFP bahawa keputusan kewangan itu akan mengambil kira caj AS$1.2 bilion (RM4.89 bilion)yang mengurangkan pendapatan bersih kira-kira AS$0.17 (RM0.69) bagi setiap saham.

Jurucakap itu menambah, institusi berkenaan komited untuk menyelesaikan kerja yang diperlukan bagi menangani isu yang dibangkitkan pengawal selia.

Pengawal selia AS menerbitkan perintah persetujuan yang mewajibkan Bank of America bekerjasama dengan pihak ketiga untuk mengenal pasti dan melaporkan transaksi mencurigakan yang sebelum ini tidak dikesan.

Bank itu juga perlu menjalani semakan bebas terhadap program pemantauan aktiviti mencurigakan serta prosedur usaha wajar yang lain.

Saham Bank of America susut 2.6 peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran berikutan pengumuman Jabatan Perbendaharaan itu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini