PETALING JAYA: Perolehan pesawat tempur ringan FA-50M mampu memperkukuh doktrin cegah rintang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), khususnya dalam meningkatkan pengawasan ruang udara dan pertahanan di kawasan strategik negara.
Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, penambahan aset berkenaan memberi suntikan baharu kepada keupayaan TUDM yang berdepan kekurangan pesawat udara, sekali gus membantu meningkatkan keupayaan rondaan dan pengawasan ruang udara negara.
Menurut beliau, kehadiran pesawat tersebut turut memberi isyarat kepada pihak luar bahawa Malaysia mempunyai keupayaan memantau ruang udaranya dan bersedia mempertahankan kedaulatan negara.
“Pesawat FA-50M lebih menjurus ke arah untuk mencegah. Maksudnya, apabila ada pesawat udara yang membawa rondaan, bakal musuh tahu bahawa kita ada mata dan telinga di angkasa.
“Ketibaan pesawat tersebut turut akan memberi rangsangan kepada TUDM, kita memang kurang mempunyai aset udara terutama yang moden,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan, TUDM dijangka menerima pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI) mengikut jadual ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tarikh ketibaan pesawat ringan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Zaki berkata, walaupun FA-50M dikategorikan sebagai pesawat tempur ringan (LCA), keupayaannya masih mampu menyumbang kepada pengukuhan pertahanan udara negara menerusi sistem avionik, radar dan keupayaan membawa persenjataan tertentu.
Bagaimanapun, katanya, pesawat tersebut masih mempunyai batasan berbanding pesawat tempur utama seperti pesawat tempur Sukhoi, terutama dari segi prestasi dan keupayaan operasi.
“FA-50M boleh bertempur, tapi dalam keadaan yang tertentu,” katanya.
Katanya, FA-50M juga boleh berperanan menggantikan pesawat Hawk yang telah digunakan TUDM hampir 30 tahun, selain menjadi platform latihan kepada juruterbang untuk mengendalikan pesawat dengan teknologi lebih moden.
Jelasnya, keupayaan FA-50M mengisi minyak di udara turut menjadi kelebihan kerana membolehkannya terbang lebih jauh, bergantung pada ketersediaan pesawat tangki.
Dalam pada itu, beliau berkata, perancangan menempatkan sebahagian pesawat berkenaan di Labuan mampu memperkukuh pertahanan di timur Sabah, yang mempunyai kepentingan strategik berikutan kedudukannya berhampiran Laut China Selatan serta sempadan Filipina dan Indonesia.
“Jadi, dia menambah lagi kita punya kekuatan pertahanan di timur Sabah lah. Itu kawasan yang pentinglah,” katanya.
Tambahnya, penambahan FA-50M memberikan kekuatan baharu kepada TUDM dalam melaksanakan peranan pertahanan negara, khususnya menerusi pendekatan cegah rintang yang bersifat defensif.
“Walaupun walaupun dia ni LCA, tapi tapi dia punya ciri-ciri yang menyerupai pesawat tempur tu menyebabkan musuh boleh berasa gerun lah. Kalau kita letak Sukhoi ni, lagilah gerun,” katanya. –UTUSAN











