KOTA BHARU: Seorang guru berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan satu akibat kecuaian dalam kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, April lalu.
Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, turut berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali atas pertuduhan mencederakan seorang lagi pelajar dalam kejadian sama.
Bagaimanapun, Sakinah mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah sehingga menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin.
Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira pukul 1.40 petang di kawasan surau SMK Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa, pada 12 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuai sehingga melanggar Zara Akhtar Zamzuri menggunakan kenderaan jenis Honda HR-V di lokasi, tarikh dan waktu sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzhir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd. Zuhari.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik, tidak pernah terbabit dalam kesalahan jenayah dan akan bersara pada 16 November ini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan maut, manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh SUV di hadapan surau sekolah berkenaan. –UTUSAN











