KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines hari ini mengumumkan pembatalan semua penerbangannya yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan Jeddah serta Madinah di Arab Saudi bagi tempoh 12-17 Oktober ini.
Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan langkah berjaga-jaga itu adalah sebagai susulan terhadap beberapa siri serangan ke atas lapangan terbang di Arab Saudi.
Berikutan itu, Malaysia Airlines meminta penumpang yang terjejas untuk memilih sama ada mendapatkan bayaran balik penuh atau menukar tarikh penerbangan ke tarikh lain tanpa sebarang caj tambahan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh asal penerbangan masing-masing.
Penumpang terbabit boleh mengemukakan permohonan bagi tujuan penjadualan semula penerbangan atau bayaran balik melalui ruangan ‘My Booking’ di laman sesawang atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines, perkhidmatan Live Chat atau Pusat Perhubungan Global di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (antarabangsa).
“Para penumpang juga diingatkan untuk memastikan semua maklumat perhubungan mereka dikemas kini melalui ruangan ‘My Booking’ bagi menerima sebarang makluman yang tepat pada masanya,” maklum syarikat itu.
Pada masa sama, Malaysia Airlines akan terus memantau perkembangan di rantau terbabit dan menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan anak kapal terus kekal sebagai keutamaan tertinggi bagi syarikat itu.
“Penerbangan ke dan dari Doha, Qatar masih terus beroperasi pada masa ini,” menurutnya.
Malaysia Airlines turut memohon maaf atas kesulitan serta gangguan terhadap rancangan perjalanan penumpang selain berterima kasih kerana memahami keadaan dalam senario perkembangan semasa.
Pada Sabtu lepas, serangan kumpulan Houthi menyasarkan terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh yang mengorbankan 13 orang manakala 309 lain cedera, menurut pihak berkuasa Arab Saudi.-BERNAMA











